Bagi ibu-ibu yang ‘teringin’ hendak bersalin secara normal selepas pernah melalui proses kelahiran caeser, ada syarat-syarat yang perlu difahami. Seorang wanita yang pernah melalui prosedur bersalin caesarean pasti pernah terfikir untuk bersalin normal bagi kelahiran seterusnya.
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh saintis dari Oxford University mencadangkan bahawa wanita yang pernah melalui prosedur c-sec atau caesarean untuk memilih melakukan prosedur c-sec dan bukannya bersalin normal.
Penyelidik mengatakan wanita-wanita yang pernah melalui prosedur C-sec dan memilih melahirkan bayi secara normal, lebih berisiko tinggi untuk memerlukan pemindahan darah atau menghadapi masalah sepsis. Ia merupakan satu masalah berkaitan jangkitan darah yang berisiko mengancam nyawa.
Bersalin Normal Selepas Caeser
Dr Fazlina Hanum Mohd Ali, doktor pakar O&G di Hospital Islam Az-Zahrah menyatakan, secara umumnya, mana-mana wanita yang pernah sekali bersalin caesarean dibenarkan untuk mencuba untuk bersalin secara normal di kelahiran selanjutnya. 75 hingga 80 peratus ibu hamil yang mempunyai kriteria ini berjaya melahirkan anak seterusnya dalam proses kelahiran normal.
Bagaimana pun anda yang mahu mencuba kaedah yang sama perlu mendapatkan kaunseling dan pemeriksaan doktor pakar terlebih dahulu. Sekiranya dalam kehamilan terdahulu anda bukan menghamilkan kembar atau lebih; tidak mengalami plasenta praevia, kedudukan bayi dalam kandungan tidak songsang atau melintang; bayi bukan bersaiz makrosomia, tiada sejarah rahim pecah ataupun pembedahan caesarean yang dilakukan bukan classical caesarean, maka anda ada peluang yang sangat cerah.
Ini Syarat Kena Faham
Sehubungan itu, perlu anda maklum bahawa selepas dua bulan bersalin, luka pembedahan sudah sembuh tetapi parutnya masih baru. Jadi, sebaik-baiknya jika mahu hamil lagi, biarlah selepas dua tahun anda menjalani pembedahan caesarean di kelahiran sebelum itu.
Ada kajian menyatakan risiko untuk rahim pecah adalah sangat tinggi jika kehamilan terbaharu berlaku dalam tempoh kurang satu tahun selepas pembedahan caesarean.Namun, ini tidak bererti anda tidak boleh melahirkan anak itu dalam proses kelahiran normal. Walaupun sudah hamil tanpa disengajakan atau dirancang, doktor masih mengizinkan cubaan bersalin normal setelah parut luka pembedahan diteliti dengan sebaik-baiknya.
Sepanjang tempoh kehamilan, anda perlu sentiasa berbincang dengan doktor yang memeriksa kehamilan tentang keupayaan anda yang mahu mencuba kelahiran normal. Anda dan suami perlu benar-benar memahami penerangan yang dijelaskan oleh doktor tentabg kebolehupayaan anda untuk proses kelahiran bayi itu.
Sehubungan itu, kebiasaannya jika anda mengandung semula dalam tempoh enam bulan selepas kelahiran caesarean sebelumnya, kebanyakan doktor pasti menasihatkan anda melalui pembedahan caesarean. Biarpun begitu, anda masih boleh mencuba untuk bersalin normal tetapi perlu faham risiko yang bakal dilalui.
Anda perlu tahu tentang kemampuan hospital bersalin pilihan menyediakan peralatan dan kepakaran mencukupi serta pemantauan berterusan dalam menghadapi sebarang risiko dalam kelahiran bayi anda nanti.
Risiko tetap sama
Sekiranya anda mahu mencuba bersalin normal selepas caesarean tidak kira anak pertama, kedua atau ketiga dan seterusnya, perlu ingat bahawa ia tetap parut!
Risiko yang mungkin berlaku kepada ibu sudah pasti rahim pecah. Dilaporkan risikonya ialah 0.3 – 0.5 peratus . Lanjutan daripada permasalahan ini, ia alan melibatkan risiko tumpah darah, pemindahan darah, diagnosis tertunda dan kematian ibu semasa bersalin.
Kemungkinan komplikasi ke atas bayi yang bakal dilahirkan pula, dia mungkin boleh lemas lalu perlu dimasukkan ke NICU. Selain itu, risiko kerosakan otak seterusnya menyebabkan kecacatan mental boleh berlaku. Malah, bayi juga berisiko untuk menemui ajal sekiranya usaha untuk proses kelahiran normal itu gagal disempurnakan.
Kesimpulannya, kelahiran normal selepas caesarean boleh dilakukan banyak kali kerana tiada had untuknya seperti yang diketahui umum. Anda boleh mencuba bersalin secara normal tetapi pemantauan rapi oleh doktor pakar perlu dilalui dengan meneliti parut pembedahan yang ada.
Sumber: Artikel asal Pa & Ma yang diolah semula dan Hello.doctor
Artikel berkaitan: Luka Pembedahan Caesarean Rasa Gatal? Ini 5 Cara Menanganinya
Hamil Lagi Selepas Caeseraen. Mama Jangan Panik. Ini Penjelasan Dari Pakar!
Hari Ke-9 Luka Caeser Terbuka & Keluar Air Bisa. Ibu Kongsi Pengalaman & Tip Cuci Luka
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.