Nyahkan sifat perasan bagus atau baik

SIKAP perasan bagus atau baik begitu dilarang dalam Islam. -Foto: Canva

SEGELINTIR orang merasakan dirinya begitu baik dan bagus dalam pelbagai perkara berbanding dengan orang lain.

Lihat sahaja dalam kalangan kenalan kita, jika diteliti, pasti terselit seorang dua yang bersikap sedemikian.

Apa yang kurang enaknya apabila seseorang itu bukan sahaja merasakan dirinya perasan bagus atau baik dan paling soleh, tetapi juga turut merendah-rendahkan orang lain.

Menerusi video yang dikongsikan, pendakwah Ustaz Elyas Ismail mengingatkan umat Islam agar tidak bersifat sebegitu kerana ia dilarang keras dalam agama.

USTAZ ELYAS

“Sikap merasakan diri itu bagus, ‘aku lebih bagus daripada (Nabi) Adam’ sebagaimana kata iblis dan seumpamanya, ia ditegah sama sekali.

“Benar, kita disuruh untuk berperangai bagus, tetapi jangan perasan bagus. Kita diajar untuk menjadi baik, tetapi bukan perasan baik,” tegurnya sepertimana dipetik dalam video di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad.

Penceramah itu kemudian mengemukakan firman ALLAH SWT yang memberi peringatan tentang perkara itu: “Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. DIA mengetahui tentang orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm: 32)

Sebenarnya, perbuatan merasakan diri lebih baik itu merupakan sifat ujub.

Imam Al-Ghazali menyatakan, ujub bermaksud mengagungkan diri atau menganggap agung amal yang dilakukan.

SEBAGAI Muslim, kita disuruh untuk berbuat baik, bukannya bersikap perasan baik atau merasakan diri paling baik berbanding dengan orang lain. -Foto: Canva

“Misalnya dengan mengatakan ‘Akulah orang yang paling soleh, tidak ada orang yang melebihi kesolehanku’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1071: Cara mengatasi perasaan ujub dalam diri yang pernah disiarkan menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Bahayanya sifat ujub itu kerana ia boleh merosakkan amal ibadah dan membawa kepada kesombongan diri.

Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkongsikan cara untuk menghindari diri daripada bersikap sedemikian seperti berikut:

1. Menyedari bahawa amal soleh yang dilakukan hanyalah kerana pertolongan, taufik dan kurniaan ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT: “Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia daripada ALLAH.” (Surah an-Nahl: 53)

2. Sedar bahawa ujub boleh membinasakan amalan yang kita lakukan.

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang membinasakan; orang yang kedekut ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan seseorang itu merasa kagum pada dirinya.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi dan At-Tabarani)

3. Mengingati bahawa sehebat mana pun kita, di sana ada yang lebih hebat.

Menelusuri kisah sejarah, terdapat seorang ulama silam bernama Asy-Sya’bi yang mana beliau pernah ditanyakan tentang suatu masalah.

BAHAYANYA sifat ujub itu kerana ia boleh merosakkan amal ibadah dan membawa kepada kesombongan diri. -Foto: Canva

Beliau menjawabnya: “Aku tidak tahu.” Seseorang yang lain bertanyakan kepadanya: “Apakah tuan tidak merasa malu berkata ‘aku tidak tahu’, walhal tuan ialah seorang ulama besar di Iraq?” Jawab Asy-Sya’bi: “Para malaikat juga tidak merasa malu ketika mereka berkata sepertimana firman ALLAH SWT:

“Malaikat itu menjawab: ‘Maha suci ENGKAU (ya ALLAH)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang ENGKAU ajarkan kepada kami; sesungguhnya ENGKAU jualah yang MAHA MENGETAHUI, lagi MAHA BIJAKSANA.” (Surah al-Baqarah: 32)

4. Mengetahui dan meyakini bahawa kurniaan ilmu kepada kita amatlah sedikit.

Firman ALLAH SWT: “Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Isra’: 85)


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply