Putrajaya kini sedang melangkah ke hadapan dalam usaha menjadi bandar rendah karbon dengan sasaran untuk memasang 500 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di pelbagai lokasi menjelang tahun 2030.
Inisiatif ini diterajui oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) sebagai usaha menyokong mobiliti hijau dan mengurangkan jejak karbon di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Menurut Presiden PPj,
Datuk Fadlun Mak Ujud, sebanyak 23 stesen pengecas EV telah dipasang di beberapa lokasi strategik di sekitar Putrajaya. Menjelang akhir tahun ini, tambahan 27 lagi stesen akan dipasang, menjadikan jumlah keseluruhan 50 stesen EV.
Namun, itu hanyalah permulaan, kerana sasaran jangka panjangnya adalah untuk mencapai 500 unit menjelang tahun 2030. Sasaran ini jelas menunjukkan komitmen Putrajaya dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar negara.
Untuk memastikan projek ini berjaya, PPj bekerjasama rapat dengan Gentari Green Mobility Sdn. Bhd, anak syarikat Gentari Sdn. Bhd. Mereka juga pakar dalam penyediaan perkhidmatan pengecasan EV.
Usahasama ini dilihat sebagai salah satu tonggak utama dalam mencapai aspirasi hijau Putrajaya. Terbaru, sebuah stesen pengecas EV telah dipasang di Taman Ekuestrian Putrajaya, berdekatan dengan Eques Cabin Café.
Stesen ini dilengkapi dengan pengecas AC berkapasiti sehingga 7 kiloWatt (kW), sesuai untuk keperluan pengguna EV yang sering berkunjung ke kawasan tersebut.
Lokasi Strategik
Stesen pengecas Taman Ekuestrian merupakan sebahagian kecil daripada pelan besar mereka untuk memperluaskan kemudahan pengecasan EV ke seluruh bandar. Beberapa lokasi strategik lain telah dikenal pasti untuk stesen pengecasan pada masa akan datang, termasuk di Laman Perdana, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Taman Saujana Hijau, Marina Putrajaya, Putrajaya Sentral, dan Kelab Tasik Putrajaya.
Kesimpulan
Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan penggunaan EV di Putrajaya, tetapi juga memberi manfaat kepada para pengunjung dan penduduk tempatan dengan kemudahan yang lebih mesra alam.
Infrastruktur pengecasan yang lebih meluas akan mengurangkan kebimbangan pengguna EV terhadap jarak perjalanan dan kekurangan tempat pengecasan. Dengan peningkatan jumlah stesen pengecasan, Putrajaya bakal menjadi model bandar hijau yang mesra teknologi dan alam sekitar.
Dari Kosmo!
Baca Juga Leapmotor C10 EV Kini Di Malaysia – 218 PS/320 Nm, 424 km Jarak Gerak
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.