Saban tahun apabila Malaysia menghantar wakil ke pertandingan ratu cantik Miss Grand International (MGI), momen paling dinantikan para pengikut dunia ratu cantik adalah momen wakil Malaysia beraksi di pentas bagi segmen kostum nasional.
Bertempat di Bangkok Thailand semalam, penantian kostum Malaysia bagi edisi 2024 tidak mengecewakan apabila wakil negara, Melisha Lin muncul di dalam persalinan kostum bertemakan ‘Celestial Creature of Gawai Kenyalang’ ataupun mahkluk istimewa cakerawala di upacara Gawai Kenyalang.
Miss Grand Malaysia 2024, Melisha Lin.
Kostum nasional sentuhan pereka fesyen kelahiran Sarawak, Aldrin Grame itu tampil dalam skala agam dan tampak cukup menyakinkan di atas pentas peragaan tersebut.
Dalam lautan kostum nasional lain yang melambangkan kebudayaan dan konsep simbolik negara masing-masing, kostum nasional Malaysia nyata tidak kurang gahnya di mata pemerhati.
‘Celestial Creature of Gawai Kenyalang’ menceritakan tentang figura ikonik Sengalang Burung (nenek moyang masyarakat Iban) dari Sarawak yang dihormati oleh masyarakat Iban sebagai tokoh semesta yang menguasai alam roh.
Burung Kenyalang (juga dikenali sebagai burung Enggang) merupakan raja segala burung di Sarawak dan dikenali sebagai God of War. Ia melambangkan semangat istimewa yang cuba diserap oleh kaum lelaki masyarakat Iban setiap kali mereka keluar mengembara dan berburu.
Justeru, kostum nasional yang dibawakan Melisha ini merupakan satu bentuk intrepretasi terhadap lambang keberanian Sengalang Burung dan penghormatan terhadap adat resam masyarakat Iban, salah satu komuniti yang membentuk kekayaan budaya di Malaysia.
Melisha dan Aldrin memasang misi untuk memberikan inspirasi dan berkongsi kisah istimewa ini di pentas dunia dan ternyata, ia membuahkan hasil!
Selain prop berupa tengkorak manusia (hasil buruan) dan parang di tangan Melisha, beliau turut membawa bersama prop berskala agam yang menampilkan tujuh ekor burung Kenyalang, corak Pua Kumbu yang sinonim dengan masyarakat Sarawak dan kepak hijau keemasan bagi mencerminkan keyakinan sang burung; persis keyakinan Melisha dalam persembahannya semalam.
Sebagai info, pemilihan angka tujuh bagi jumlah burung Kenyalang itu sememangnya bertepatan dengan jumlah burung pada patung ukiran yang dibina oleh kaum Iban.
Menurut kepercayaan, ketujuh-tujuh roh burung Kenyalang itu akan melepaskan diri daripada patung untuk terbang melakukan serangan di kubu musuh.
Memetik kenyataan perekanya, Aldrin berharap agar kostum nasional ini berjaya membuatkan rakyat Malaysia berbangga dengan representasi budaya negara kita di pentas antarabangsa.
Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sokongan, bantuan dan ucapan istimewa buat Melisha sendiri yang baginya merupakan seorang insan yang memudahkan kerjasama yang terjalin.
View this post on Instagram
Terdahulu, Aldrin pernah menggalas tanggungjawab menyiapkan kostum nasional Miss Grand Malaysia 2021, Lishalliny Kanaran bertemakan Ulek Mayang di pertandingan Miss Grand International 2021. Istimewanya, ia telah dinobat sebagai juara kategori Busana Kebangsaan Terbaik bagi edisi tersebut.
Adakah kostum nasionalnya kali ini bakal mengulang semula sejarah berkenaan buat Malaysia?
BACA: Ratu Cantik Malaysia Angkut ‘7 Puteri’ Ulek Mayang Di Miss Grand International 2021 – REMAJA
BACA: Wakil Malaysia Banggakan Negara Terpilih Top 20 Miss Grand International 2021 – REMAJA
BACA: Kenangan Manis Capai Top 24 Miss Supranational 2022, Melisha Lin Akui Bukan Semuanya Glamor – REMAJA
Miss Grand International 2024 bakal menobatkan juara baharunya pada 25 Oktober ini dalam kalangan 69 negara yang bertanding.
Penganjur membuka platform undian bagi memahkotakan salah seorang pesertanya dengan anugerah Country’s Power of the Year; sekaligus membolehkan peserta itu diserap masuk ke dalam kedudukan 20 terbaik.
Penganjur turut meneruskan tradisi memperkenalkan kategori undian Miss Popular yang membolehkan penerima anugerah tersebut melangkah ke dalam kedudukan 10 terbaik.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.