Usia Bukan Penghalang, Rohani Abdullah Berjaya Raih Gelaran Doktor Falsafah (PhD) Pada Usia 81 Tahun

Walaupun kini sudah menginjak usia 81 tahun, ia bukanlah penghalang bagi Christine Longuet atau Rohani Abdullah apabila berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Etnobotani atau Ekologi Manusia pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Rohani yang merupakan anak kelahiran Paris, Perancis itu berkata, beliau telah menghabiskan masa selama 10 tahun untuk menyiapkan penulisan tesis bertajuk ‘Tempat, Tumbuhan dan Masyarakat di Terengganu: Penilaian Berdasarkan Dua Era’ bermula tahun 2013.

“Kajian ini melibatkan dua era dan secara tidak langsung memerlukan perbandingan yang sistematik serta masa yang panjang. Ada masa saya hampir berputus asa, tetapi saya bersyukur kerana adanya sokongan padu daripada arwah suami Allahyarham Wan Othman Wan Abdullah dan anak, penyelia muda yang berpengalaman, dan juga bantuan daripada pihak pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sendiri”

Menurutnya lagi, beliau juga menghadapi pelbagai cabaran dalam menyiapkan tesis berkenaan termasuk faktor kesihatan, masalah keluarga, persekitaran dan COVID-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikut Graduasi Bersama Anak, Lanjut Usia Bukan Penghalang Pesara Raih Gelaran Doktor Falsafah (PhD)

Kredit: Bernama

Kredit: Bernama

Selain itu, Rohani yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah dari Sorbonne University, Perancis itu juga berhasrat untuk menulis buku biografi mengenai dirinya untuk tatapan serta warisan keluarga dan bercadang menerbitkan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Perancis.

“Saya mahu anak cucu tahu dari mana mereka datang. Tidak hanya sejarah, saya juga ingin berkongsi ilmu yang saya ada dalam buku itu untuk manfaat masyarakat. Sebelum ini, saya telah menulis beberapa buku seperti Amabah An Architect’s Journey (2013) dan The Visible Trail of Chang Fee Ming (2000),”  katanya yang turut mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Seni Bina dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2006.

Dalam pada itu, Rohani berkongsi kisahnya datang ke Terengganu pada 1971 untuk menempah kapal layar dan mengembara ke lautan Pasifik.

ARTIKEL BERKAITAN: Usia Bukan Penghalang, Graduan UiTM Ini Berjaya Genggam Ijazah Undang-Undang Pada Usia 77 Tahun. Tahniah!

Kredit: Bernama

Bagaimanapun, wanita kepada lapan anak, 27 cucu dan 14 cicit itu akhirnya memutuskan untuk menetap di bumi Darul Iman pada tahun 1975 setelah jatuh hati dengan industri kapal layar, budaya tempatan serta seni bina Melayu yang menarik.

Susulan dari itu juga, beliau membuat kajian mengenai perubatan tradisional Terengganu untuk beberapa firma dan institut di Perancis pada 1982 sehingga sempat menerbitkan artikel seperti ‘Kulit Manis: A Taste of Terengganu’s Heritage’, ‘Menelusuri Jati Diri; Chapter Perahu Pinis: Peranan Tukang Dalam Penciptaan Kapal Layar di Terengganu’ dan ‘Malaysie Contemporaine, La disparition de habita traditional dans le Terengganu’.

Sumber: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Comments

Leave a Reply