PRU16: BN mampu raih lebih kerusi jika ketepikan isu remeh

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmian pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-71 di Wisma MCA pada Ahad. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mampu menang lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang, sekiranya gabungan itu mengetepikan perkara-perkara remeh kata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan itu juga boleh dicapai, sekiranya gabungan itu dapat terus memperkukuh semangat serta mengenepikan permasalahan sesama parti komponennya.

“Kalau BN bekerja keras, strategi pilihan raya disusun dengan baik dan jika kita mengenepikan permasalahan kita sesama sendiri, walaupun di negeri pembangkang, BN masih boleh menang dengan cemerlang kalau ini dapat kita pertahankan.

“Kalau kita mengetepikan perkara titik bengik, petty issues, kembali kepada landasan BN yang sebenar dengan memperkukuh semangat BN dan pada masa sama pemimpin utama parti komponen mengenepikan perbezaan pandangan, saya hampir pasti bahawa BN akan mendapat kerusi yang lebih di dalam PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-71 di sini, pada Ahad. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply