Cara Jaga Rambut Elak Gugur dan Kelemumur, Wanita Bertudung Kena Betulkan!

Sebelum anda tukar syampu terbaik, ambil peduli dulu macam mana cara jaga rambut dengan betul untuk elakkan gugur dan ada masalah kelemumur.

Ya, sekali pun pakai tudung anda kena pastikan cara anda betul. Jika jarang dicuci, kerak kepala seperti kelemumur dan peluh mula berdaki di kulit kepala membuatkan berbau dan kesihatan rambut juga terjejas.

Jadi ini  cara yang sempurna bagi seorang wanita berhijab menjaga mahkotanya.

Cara Jaga Rambut Elak Gugur dan Kelemumur

1. Cuci rambut selang sehari atau basuh sahaja ketika kulit kepala sudah terasa berminyak. Jangan cuci setiap hari kerana rambut basah akan menjadikan risiko keguguran lebih tinggi. Pastikan anda menyampu kulit kepala, mengurut serta menggaru lembut kulit kepala buat beberapa ketika.

2. Sebelum mencuci rambut, pastikan anda menyikat rambut terlebih dahulu agar rambut mudah dicuci dan tidak kusut. Rambut kusut akan menyukarkan proses syampu seterusnya dikhuatiri akan membuatkan rambut gugur apabila ditarik-tarik dalam keadaan basah.

3. Guna syampu yang sesuai. Sila dapatkan nasihat pakar jika perlu kerana kulit kepala sangat sensitif. Sebaiknya, manfaatkanlah syampu yang khas dirumus untuk wanita bertudung, pilih mengikut kesesuaian tahap kerosakan rambut.

4. Elak cuci rambut dengan air panas kerana ia hanya akan menjadikan tekstur rambut kasar, kering serta mengerbang. Mandi sahaja dengan air sejuk.

5. Jangan sanggul rambut dalam keadaan basah. Pastikan rambut sudah benar-benar kering sebelum memakai tudung. Rambut yang tertutup dalam keadaan basah akan membiak kelemumur, menjadi kusut dan buat hujung rambut berbuah serta bercabang. Kulit kepala juga akan berminyak!

Kalau Bertudung, Betulkan Bab Ini

6. Sila pakai anak tudung yang berasaskan material kapas serap peluh, jika tidak kepala anda akan berkuap seterusnya menyebabkan rambut berbau kurang enak.

7. Pakai material tudung yang nipis dan ringan. Praktikan ikatan atau lilitan tudung yang tidak terlalu ketat melekap di kepala. Ini bagi memberi pengaliran udara yang sempurna buat rambut dan kulit kepala.

8. Gunakan getah yang diperbuat daripada fabrik baldu mahupun satin. Jangan sesekali mengikat rambut ketat menggunakan getah sayur mahupun getah yang keras kerana akan menarik kuat rambut dari permukaan kulit kepala seterusnya melemahkan akar umbi sehingga menjadi punca masalah keguguran.

9. Jaga pemakanan kerana khasiat makanan sedikit sebanyak mendorong kesihatan dan kecantikan rambut. Ambillah makanan tambahan seperti vitamin yang mengandungi biotin, silika, Vitamin B, C dan E serta zat besi dan omega 3.

10. Memakai tudung berwarna lembut mampu membebaskan wap yang terpenrangkap di kawasan kepala sepanjang hari. Ini akan buat kulit kepala selesa berbanding pemakaian tudung berona hitam dan warna gelap lain.

11. Tiga hingga enam bulan sekali, kunjungilah salon berdekatan untuk memotong sedikit hujung rambut. Cara ini akan membuatkan rambut kekal sihat tanpa sebarang kerosakan hujung rambut.

12. Waktu malam, belai rambut dengan minyak perapi mahupun serum. Sebaiknya setiap kali selepas mandi. Ini akan bantu rambut dan kulit kepala menyerap nutrien agar kesihatannya terjamin untuk jangka masa berterusan.

13. Untuk mengelak rambut kusut selepas bangun tidur, dandan dan tocangkan rambut secara longgar (tocang lipan) supaya ianya rapi dan kesannya, rambut gugur yang disebabkan geselan kepala pada bantal juga bakal berkurangan.

Selamat beramal!


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply