Warna Baharu
Yamaha sekali lagi memberikan pembaharuan kepada skuter popular mereka, Yamaha Ego Gear, untuk tahun ini. Kali ini, ia tampil dengan tiga pilihan warna baharu iaitu Grey, Cyan, dan Navy Blue.
Pastinya memberikan penampilan lebih segar dan bergaya kepada peminat skuter di Malaysia. Apa yang menarik, walaupun tampil dengan warna baharu, harga skuter ini masih kekal pada RM5,998 (tidak termasuk insurans). Sama seperti tahun sebelumnya.
Dari segi spesifikasi
Yamaha tidak melakukan sebarang perubahan pada bahagian mekanikal skuter ini. Masih mengekalkan enjin satu silinder SOHC 125 cc dengan sistem suntikan bahan api. Ego Gear mampu menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,000 rpm dan tork 9.6 Nm pada 5,500 rpm.
Transmisi automatik menjadikan skuter ini sangat mudah dikendalikan, terutamanya untuk pemanduan di dalam bandar yang memerlukan kelincahan dan kemudahan.
Sistem Start and Stop
Salah satu ciri yang membuatkan Ego Gear lebih mesra pengguna adalah sistem Start and Stop. Ia membantu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.
Dengan adanya Smart Motor Generator, enjin akan mati seketika apabila berhenti sejenak, seperti di lampu isyarat, dan hidup semula dengan lancar apabila throttle dipulas. Ini menjadikan penggunaan bahan api lebih efisien, sekaligus mengurangkan pembaziran.
Walaupun saiznya kecil, Yamaha Ego Gear tidak mengabaikan ciri-ciri moden. Skuter ini dilengkapi dengan lampu hadapan jenis LED, yang lebih terang dan menjimatkan tenaga.
Selain itu, terdapat juga soket pengecas USB yang memudahkan pengguna untuk mengecas peranti mudah alih mereka semasa perjalanan.
Lampu kecemasan juga disertakan untuk membantu dalam situasi kecemasan, manakala panel meternya masih menggunakan unit analog yang mudah dibaca.
Dari segi keselamatan
Yamaha Ego Gear dilengkapi dengan sistem brek cakera di bahagian hadapan dan brek dram di belakang, memberikan kombinasi cengkaman yang baik untuk memberhentikan skuter dengan cekap.
Suspensinya pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak tunggal di belakang, memastikan perjalanan yang selesa walaupun di atas jalan yang kurang rata.
Rim bersaiz 14 inci dan tayar bersaiz 70/90 di hadapan dan 90/80 di belakang memastikan cengkaman yang stabil dan pemanduan yang lancar.
Tangki Minyak
Dengan tangki bahan api 4.2 liter dan berat hanya 95 kg, Yamaha Ego Gear sesuai untuk kegunaan harian di bandar.
Tinggi tempat duduknya yang 750 mm juga menjadikannya mudah dikendalikan oleh pelbagai lapisan pengguna, tidak kira tinggi atau rendah. Setiap pembelian Ego Gear turut hadir dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km. Serta kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma sebagai tambahan.
Secara keseluruhan, Yamaha Ego Gear kekal sebagai pilihan skuter yang berbaloi, terutama bagi mereka yang mencari skuter kecil yang efisien dan mudah diselenggara, kini dengan penampilan lebih segar berkat pilihan warna baharu.
Dari PaulTan
Baca Juga Yamaha MT-09 Generasi Baharu Dilancarkan di Malaysia, Harga RM57,998
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.