Sokong RUU pindaan warganegara, bukti PN amal politik matang

Hamzah (empat dari kiri) bersama sebahagian ahli Parlimen pembangkang yang hadir di Parlimen pada Khamis.

SHAH ALAM – Keputusan Perikatan Nasional (PN) menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan bukti pembangkang mengamalkan budaya politik yang bertanggungjawab dan matang dalam mempertahankan kepentingan negara.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi yang diberikan oleh mana-mana negara dan sudah tentu, dasar pemberian taraf kewarganegaraan perlu dibuat secara ketat, teliti serta cermat demi memelihara kedaulatan Malaysia.

“Semalam (Khamis), Perikatan Nasional menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan selepas berpuas hati dengan beberapa pindaan, sekali gus menepati kehendak Majlis Raja-Raja khususnya melibatkan mekanisme kawalan yang diperketatkan,” katanya menerusi Facebook pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, sokongan ini adalah bertepatan dengan manifesto PN untuk memberikan hak kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara di mana ibunya adalah seorang warganegara.

“Namun begitu, beberapa teguran membina telah disuarakan oleh ramai Ahli-ahli Parlimen PN bagi memastikan mekanisme kawalan dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin oleh kerajaan,” katnya

Ujarnya, sikap ini jelas memperlihatkan PN bukan sekadar pembangkang tetapi matang dan berjiwa besar dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara.

Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Keputusan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas undi belah bahagi diadakan, dengan seramai 206 ahli Parlimen bersetuju, satu tidak bersetuju, manakala 14 tidak hadir.

Pindaan RUU itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply