Bebanan hutang hantui mahasiswa, anak muda

BEBANAN hutang terutamanya untuk pembiayaan pendidikan tinggi terus menghantui golongan mahasiswa dan anak muda ketika ini. Foto CANVA/Gambar kecil: UMMIE ‘AFINA ‘AWATIF (atas) dan AIMI ATHIRAH.

KEBELAKANGAN ini, masalah bebanan hutang yang membelenggu rakyat di negara ini dilihat semakin membimbangkan.

Persoalannya, apakah kita hidup dan bekerja ini hanya sekadar untuk membayar hutang?

Rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) menunjukkan faktor terbesar muflis adalah disebabkan pinjaman peribadi dengan 20,754 kes yang mewakili 42.24 peratus daripada keseluruhan faktor kebankrapan yang dilaporkan.

Berdasarkan statistik MDI terkini, individu berusia antara 35 hingga 44 tahun paling tinggi diisytiharkan bankrap dengan jumlah 18,454 kes diikuti golongan umur 45 hingga 54 tahun iaitu 12,752 kes dan golongan muda iaitu 25 hingga 34 tahun (10,302 kes).

Perkara ini perlu diambil serius kerana ia menyumbang kepada peningkatan kes jenayah dan kesihatan mental negara.

Selain itu, ramai anak muda pada hari ini dilihat melewatkan perkahwinan kerana terpalit dengan masalah bebanan hutang peribadi.

Apa yang lebih parah ialah tindakan melewatkan perkahwinan itu kemudiannya menjurus kepada zina dan kes kelahiran anak tidak sah taraf.

BEBANAN hutang tinggi menyebabkan peningkatan kes jenayah, kesihatan mental dan lewat melangsungkan perkahwinan sehingga terjebak dengan zina. Foto CANVA

Pada dasarnya, rakyat terutamanya umat Islam terpalit dalam perbuatan riba yang hanya dikaburi oleh istilah pinjaman.

Pinjaman wang ini sebenarnya telah membebankan rakyat. Namun begitu, pada hari ini kaedah pinjaman telah dipelbagaikan dan digalakkan lagi dengan pelbagai konsep termasuk pinjaman patuh syariah.

Maka bagaimana rakyat dapat mencapai kehidupan yang lebih berkmakna dan berkat dari ILAHI jika hak dan batil masih terus diamalkan dan batil semakin mengatasi hak.

Pendidikan sebagai perniagaan

Sektor pendidikan pasca kemerdekaan terus berkembang di mana terdapat pembelajaran pelbagai peringkat umur.

Jika dilihat di kawasan bandar, pendidikan awal kanak-kanak di tadika memerlukan perbelanjaan wang yang banyak.

Pelbagai bayaran dikenakan terhadap pelajar sehingga membebankan ibu bapa.

Pendidikan sepatutnya diberikan percuma kerana ia merupakan keperluan asas rakyat.

Pada peringkat pengajian tinggi pula, mahasiswa universiti perlu mencari inisiatif dan bantuan kewangan sendiri yang mencukupi bagi mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

Sektor pendidikan beralih menjadi perniagaan apabila penubuhan Akta Pendidikan 1996 memberi kelulusan kepada menteri untuk menguruskan segala urusan berkaitan pendidikan swasta.

Untuk menjayakan penswastaan pendidikan, dasar pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diwujudkan pada 1997 bertujuan memberikan fleksibiliti kepada pihak universiti dalam melaksanakan tugas dengan kurangnya kawalan kerajaan secara langsung ke atas pengurusan universiti, serta bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Namun tanpa disedari, perkara ini memberi peluang kepada pihak universiti swasta untuk mengenakan caj-caj tertentu tanpa kawalan dan akhirnya membebankan pelajar.

Pendidikan sepatutnya percuma

Terbaharu, kajian penulis berkaitan hal pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diambil oleh majoriti mahasiswa dari keluarga B40 sebagai agensi sokongan kewangan bagi mendapatkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Pinjaman PTPTN ini merupakan pinjaman boleh ubah mengikut dasar baharu pada tahun 2003 yang mengenakan caj tiga peratus sebagai kos pentadbiran kecuali peringkat sarjana dan doktor falsafah manakala kursus profesional pula dikenakan caj lima peratus atas baki pinjaman.

PENDIDIKAN tidak sepatutnya dijadikan sebagai perniagaan, sebaliknya disediakan secara percuma kepada rakyat. Foto CANVA

Mulai 1 Jun 2008, PTPTN menawarkan tawaran pinjaman berlandaskan prinsip Syariah dinamakan ujrah (upah) iaitu caj sebanyak satu peratus setahun atas kadar rata.

Mereka menyatakan bahawa pinjaman PTPTN dapat membantu ramai mahasiswa menyelesaikan masalah kewangan semasa menjalani pengajian.

Namun begitu, pihak berkenaan perlu melihat dari sudut yang lebih jauh terutamanya dalam menyediakan tenaga kerja negara pada masa hadapan.

Meskipun terdapat imbuhan atau pengurangan dalam pembayaran balik semula pinjaman kepada graduan, namun malangnya golongan graduan yang kurang cemerlang atas faktor kegagalan capaian gred atau pointer yang disyaratkan, terpaksa membayar pinjaman tersebut.

Oleh sebab itu, ramai graduan terperangkap dalam hutang walaupun belum mempunyai komitmen lain.

Menurut satu laporan portal berita pada 27 September 2017, seramai 447,890 peminjam PTPTN telah disenarai hitam disebabkan kegagalan membayar semula pinjaman, sekaligus menjadi golongan terbesar dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali ketika itu.

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara pula merekodkan hutang pinjaman pendidikan tinggi merupakan hutang kedua paling lazim ditanggung oleh orang dewasa yang bekerja dalam lingkungan umur 20 hingga 29 tahun.

Maka jelas dalam industri pendidikan yang berorientasikan perniagaan ini menjadikan pelajar sebagai pelanggan yang berhutang di mana industri pendidikan telah menjadi pembekal kepada pelanggan.

Konsep pendidikan yang bertujuan untuk membina insan berkualiti telah berubah kepada kepuasan pelajar sebagai pelanggan.

Hakikatnya, rakyat Malaysia tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menerima sistem yang menerapkan nilai-nilai materialistik yang berasaskan keuntungan sehingga terhakisnya nilai-nilai Islam yang sebenar, terutamanya dalam aspek pendidikan.

Niat murni pemuda pemudi harapan bangsa untuk menimba ilmu yang suci dicemarkan dengan bebanan hutang dan pendidikan yang berorientasikan perniagaan ini.

Akhir kata, jauhi hutang, jauhi riba, makmur Malaysia!

***UMMIE ‘AFINA ‘AWATIF MD TAHIR dan AIMI ATHIRAH AMAT ALI merupakan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh, Johor.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply