Tak tepat istilah ‘suami tumpang rezeki isteri atau anak’ – Ustaz Azhar Idrus

MASYARAKAT kita kerap mengungkapkan pernyataan ‘suami tumpang rezeki isteri’ atau ‘ayah tumpang rezeki anak’. Ketahui pandangan Islam tentangnya. -Foto: Canva

AGAK kerap juga kita mendengar pernyataan ‘suami tumpang rezeki isteri’ atau ‘ayah tumpang rezeki anak’ dalam masyarakat.

Begitu juga dengan ayat ‘isteri menumpang rezeki suami’ dan seumpamanya.

Bagaimanapun, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, istilah itu tidak tepat sama sekali.

USTAZ AZHAR IDRUS

Memperbetulkan salah faham itu, jelas beliau, rezeki sebenarnya bermaksud perkara yang memberi manfaat kepada diri kita.

“Sebagai contoh, ketika hujan, kita hendak melintas jalan menuju ke kereta (yang diparkir di sana), memang basah. Tiba-tiba orang bagi pinjam payung, jadi tak basahlah.

“Itulah (yang dinamakan) rezeki kerana ia memberi kegunaan atau manfaat kepada kita,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Betulkah suami tumpang rezeki isteri, ayah tumpang rezeki anak’ yang dikongsikan di YouTube miliknya pada Selasa.

Jelas beliau lagi, dalam Islam, rezeki terbahagi kepada empat jenis iaitu madmum (yang dijamin), mamluk (yang dimiliki), maqsum (yang dibahagi) dan mau’ud (yang dijanjikan).

Berikut perinciannya:

1. Rezeki mau’ud – Sebagai contoh, jika begini amalannya, maka begitulah rezekinya.

2. Rezeki madmum – Rezeki yang dijamin oleh ALLAH SWT.

3. Rezeki maqsum – Kita yang berusaha, memperoleh duit dan membahagikan kekayaan itu.

4. Rezeki mamluk – Rezeki itu milik kita dan orang lain tak boleh ambil.

REZEKI suami ataupun lelaki bukan terletak pada reda isteri atau wanita secara langsung, tetapi ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu dalam perkara dibenarkan oleh syarak sebagai antara asbab keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada ALLAH SWT. -Foto: Canva

Mengulas tentang perkaitan suami menumpang rezeki isteri atau anak, Ustaz Azhar memberikan situasi mudah untuk kita memahaminya.

Walaupun anak berusia empat tahun atau bersekolah rendah dan tidak bekerja, tetapi boleh makan dengan makanan sama yang kita makan, jelas beliau, itu adalah rezeki mereka.

“Kita bekerja dan anak kita tidak bekerja, tetapi dia tetap makan pagi petang. Dia makan itu (dari hasil) duit kita, tetapi itulah rezeki mereka. Terjawablah sudah, walaupun rezeki kita dapat, ada rezeki maqsum yang perlu dibahagikan.

“Jika dibahagikan harta daripada RM3,000 (gaji) yang kita dapat, RM50 beri pada ketua kampung, RM100 pula sedekah di masjid dan sebagainya. Semua itu dibahagi-bahagikan.

“Jadi jika rezeki itu sememangnya hak isteri kita, kita tetap tak boleh ambil walau apa pun. Andai rezeki itu memang diperoleh melalui dia, ia termasuk dalam rezeki maqsum (yang dibahagikan), kita yang dapat makan. Bila kita (suami) yang dapat, isteri pula buat beli rantai,” terangnya panjang lebar.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi satu artikel yang pernah disiarkan sebelum ini menegaskan, ungkapan rezeki suami atau lelaki datang daripada reda isteri boleh membawa salah faham jika tidak dijelaskan dengan betul.

Dari satu sudut, pejabat mufti itu menjelaskan, memang tidak dapat dinafikan pertambahan rezeki seseorang bergantung juga kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.

REZEKI sebenarnya bermaksud perkara yang memberi manfaat kepada diri kita dan ia tidak semestinya ialah wang. -Foto: Canva

“Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk isteri adalah antara sebab rezeki itu diluaskan oleh ALLAH SWT. Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabab.

“Ia juga sebagai satu motivasi agar suami tidak mengambil ringan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Afkar #113: Rezeki suami datang dari reda isteri.

Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, rezeki suami ataupun lelaki bukan terletak pada reda isteri atau wanita secara langsung.

“Sebaliknya ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu dalam perkara dibenarkan oleh syarak sebagai antara asbab keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada ALLAH SWT.

“Pada asasnya, ALLAH SWT adalah pemberi rezeki yang mutlak. Tiada siapa yang dapat menghalang sekiranya dikehendaki oleh-NYA dan tiada pula sesiapa yang dapat memberi tanpa keizinan-NYA,” tulis artikel itu.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply