Era teknologi dan digital masa kini menghidangkan bermacam-macam alternatif untuk pengguna menonton sesebuah program mahupun rancangan. Hingga ada yang mungkin tidak menyedari atau dengan sengaja memilih untuk menggunakan peranti penstriman haram (ISD) dalam kehidupan seharian.
Bagi yang baharu mengetahui hal ini, hentikan penggunaan ISD dengan segera kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang. Malah lebih serius, mengundang seisi keluarga terdedah kepada jenayah dunia siber tanpa sempadan.
Bagi yang menghargai pilihan hiburan yang selamat, penting untuk memahami bahaya tersembuyi dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi keluarga anda.
Di bawah Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022, penggunaan ISD dianggap sebagai kesalahan jenayah. Mana-mana individu atau perniagaan yang melanggar hak cipta menerusi teknologi penstriman jika disabitkan kesalahan boleh dedenda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali!
KOTAK TV HARAM!
Kotak TV haram berfungsi sebagai pintu masuk untuk penjenayah siber kerana tidak mengikuti proses pelesenan dan saluran yang betul. Peranti kotak TV ini kebiasaannya tidak memiliki standard keselamatan yang ketat untuk melindungi pengguna di platform yang sah.
Akibatnya, kotak-kotak ini mungkin mengandungi perisian berniat jahat yang meningkatkan risiko serangan siber, penipuan dan pelanggaran data peribadi. Pakar keselamatan siber memberi amaran bahawa peranti penstriman haram boleh membuka jalan kepada penjenayah untuk menyusup masuk ke rangkaian rumah anda.
CETAK ROMPAK
Penggunaan ISD juga menyebabkan penyiar yang sah tidak mampu beroperasi dengan efektif dan maju. Agenda cetak rompak menerusi penggunaan ISD ini memberi implikasi buruk tidak hanya kepada penyiar tetapi lebih parah ia membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, selaku penyiar berdaftar Astro menyeru sama ada individu mahupun pengusaha perniagaan untuk sama-sama sertai kempen Bisnes Sapot Bisnes dengan menggunakan strim rancangan melalui saluran yang sah. Bukan cetak rompak.
Ketua Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata, “Astro sangat komited dalam usaha memerangi cetak rompak digital kerana kami tahu betapa besar kesannya kepada industri media dan kreatif.
Dengan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan melindungi hak harta intelek, Astro membantu memastikan para pencipta dan artis mendapat ganjaran yang adil.
Usaha ini oenting untuk memastikan industri ini terus hidup dan berkembang, membuka ruang untuk idea dan pengisian baru.”
Februari lalu di Ipoh, seorang individu berusia 22 tahun didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menjual kotak Android yang telah dimuatkan dengan pengisian Astro secara haram.
Peranti itu ditemui dalam satu serbuan pada Oktober 2023. Pada Julai tahun yang sama juga dua individu di Seremban turut berdepan tuduhan serupa.
Kes-kes ini mencerminkan usaha keras Astro dalam memerangi cetak rompak digital dan memastikan pematuhan syarat-syarat langganan pengisian Astro.
Terbaharu, sebuah syarikat rangkaian restoran nasi kandar terkenal terpaksa menanggung padah berjumlah ratusan ribu ringgit gara-gara menyiarkan kandungan dan pengisian Astro secara haram.
Dalam penyelesaian yang dibuat menerusi penghakiman persetujuan, Thaqwa (Malaysia) Sdn Bhd bersetuju membayar RM221,773.20 kepada Measat Broadcast Systems Sdn Bhd iaitu anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad kerana melanggar syarat langganan dengan menyiarkan siaran Astro secara tidak sah di beberapa cawangan restoran milik syarikat terbabit.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.