Ibu hamil minumlah susu. Ini kerana susu mengandungi nutrien penting yang dapat mengekalkan kesihatan tubuh bakal ibu seperti kalsium dan vitamin D. Susu juga membekalkan nutrisi serta membantu perkembangan bayi dalam kandungan.
Ada sesetengah ibu hamil tidak boleh minum susu yang dirumus khas untuk ibu hamil. Mungkin kerana rasanya berlemak atau rasanya tidak menepati citarasa sehingga membuatkan mereka muak apabila meminumnya. Sama ada ibu hamil perlu minum susu semasa mengandung atau tidak, sebenarnya kembali kepada keperluan setiap ibu.
Ibu Hamil Minumlah Susu
Jika anda merasakan pengambilan makanan dan minuman harian anda memenuhi keperluan nutrisi anda, mungkin pengambilan susu setiap hari semasa hamil bukanlah keutamaan.
Sebaliknya, jika anda merasakan pengambilan makanan dan minuman anda masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan nutrisi anda, minum susu adalah sesuatu yang digalakkan.
Susu bukan sahaja sebagai pelengkap untuk memenuhi keperluan tenaga dan nutrisi ibu hamil, malah turut memainkan peranan penting dalam menyediakan nutrien yang diperlukan oleh janin.
Bagus Untuk Perkembangan Bayi Dalam Kandungan
Ambil contoh kalsium, protein, fosforus, kalium, AHA, DHA, asid folik, dan vitamin D yang diperlukan oleh tubuh wanita hamil dan janin untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan mereka. Kandungan nutrisi ini menjadikan susu sebagai minuman yang baik untuk diambil oleh ibu hamil.
Apabila anda disahkan hamil, anda mungkin tertanya-tanya pada bulan apakah yang terbaik untuk mula minum susu hamil? Memandangkan terdapat banyak manfaat baik yang diberikan oleh susu hamil, anda dinasihatkan untuk mula minum susu ini pada trimester 1 kehamilan atau ketika anda masih agak muda.
Ibu hamil amat memerlukan nutrisi seimbang demi memastikan tahap kesihatan diri dan pertumbuhan bayi berada pada tahap optimum selaras dengan umur kehamilan. Keperluan nutrien semasa hamil meningkat, terutamanya semasa trimester kedua dan ketiga. Selain karbohidrat, ibu hamil juga memerlukan protein, lemak, kalsium, asid folik, zink, Vitamin B, C, D, E dan pelbagai mikronutrien lain.
Semasa hamil, ibu memerlukan lebih kurang 1,000mg kalsium setiap hari. Menurut laporan USDA, ibu hamil disyorkan untuk mengambil tiga cawan susu atau produk tenusu setiap hari. Secawan susu mengandungi kira-kira 305mg kalsium.
Tiga cawan susu dapat membantu ibu hamil memenuhi keperluan kalsium harian yang diperlukan.
Susu merupakan sumber kalsium yang penting. Kalsium yang terkandung dalam susu penting untuk pembentukan gigi dan tulang bayi dalam kandungan. Selain itu, kalsium juga memiliki peranan penting dalam membantu melancarkan rangsangan pada saraf dan otot bayi. Selain kalsium, susu juga mengandungi vitamin D, nutrisi penting untuk mencegah masalah bayi kurang berat dan pertumbuhan bayi terbantut (IUGR) dan mengurangkan risiko ibu hamil mendapat penyakit praeklampsia.
Di samping itu, susu juga mengandung asid folik dan DHA yang berperanan dalam pembentukan saraf serta otak bayi. Perubahan fisiologi ketika hamil juga menyebabkan puan cenderung untuk mengalami masalah pedih ulu hati dan gastrik. Pengambilan susu dapat melegakan simptom ini kerana susu adalah sejenis antacid.
Umum mengetahui akan kepentingan pengambilan susu ketika hamil. Tetapi persoalan yang sering diajukan oleh ibu hamil adalah susu yang mana lebih baik?
Susu penuh krim
Ia memiliki kandungan lemak hampir 3.5 % lebih banyak dan 149 kalori secawan. Ia juga mengandungi sekitar 5 gram lemak tepu untuk satu cawan penyajian.
Kredit foto: Freepik
Susu lembu yang dipasteur
Pasteurisasi adalah satu proses pemanasan makanan atau minuman dengan tujuan membunuh organisma seperti bakteria dan suatu proses untuk memperlambatkan pertumbuhan mikrob pada makanan. Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC), menyarankan agar semua wanita hamil menghindari makanan yang diperbuat daripada susu yang tidak melalui proses pasteurisasi.
Susu rendah lemak
Susu rendah lemak adalah pilihan yang tepat bagi ibu hamil. Di samping mengandungi nutrien dan zat yang mencukupi, ia juga rendah kalori. Ia amat baik untuk ibu hamil yang menghidap penyakit kencing manis ketika mengandung (GDM).
Pengambilan susu rendah lemak yang dipasteur adalah disarankan untuk ibu hamil supaya kenaikan berat badan tidak berlebihan daripada skala normal. Walau bagaimanapun pengambilan susu yang diformulasikan khas untuk ibu hamil secawan sehari adalah tidak memudaratkan bagi ibu hamil yang tidak mempunyai apa-apa masalah perubatan.
Bagi ibu yang menghidap kencing manis ketika hamil (GDM) pengambilan susu formulasi adalah tidak digalakkan kerana ia mengandungi sukros yang boleh menyebabkan kawalan gula dalam badan ibu GDM menjadi tidak terkawal dan menyebabkan hyperglisemia.
Artikel berkaitan: Ibu Hamil Kejang Kaki Waktu Malam Ada Kaitan Dengan Tak Minum Susu? Dietitian Terang Fungsi Susu Untuk Kandungan
Petua Atasi Perut Meragam, Minum ‘Susu Buang Angin’ Ini Memang Mujarab
Kalau Mama Terlebih Minum Susu Bahaya Juga! Ini Cadangan Hidangan Yang Mama Boleh Ambil
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.