Berkuatkuasa Serta-merta
Toyota telah membuat kejutan dengan kembali ke arena Formula 1 (F1) melalui satu kerjasama teknikal dengan pasukan Haas F1.
Dalam perjanjian baharu ini, bahagian sukan permotoran Toyota, Toyota Gazoo Racing (TGR), akan menjadi penaja teknikal rasmi pasukan Haas. Perjanjian ini berkuat kuasa serta-merta.
Logo TGR akan mula muncul pada kereta pasukan Haas sempena Grand Prix Amerika Syarikat minggu hadapan.
Perjanjian ini yang berlangsung selama beberapa tahun akan menyaksikan Toyota Gazoo Racing berkongsi kepakaran, sumber, dan teknologi mereka dengan Haas.
Bagi pasukan Haas, kerjasama ini adalah satu suntikan kewangan yang amat diperlukan kerana mereka adalah pasukan terkecil dalam F1.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Formula 1, TGR akan memberikan perkhidmatan reka bentuk, teknikal, dan pembuatan kepada Haas. Sementara Haas pula akan menyumbang kepakaran teknikal mereka.
Walaupun dengan kerjasama ini, Haas akan kekal sebagai pelanggan Ferrari dan akan terus membeli komponen daripada pasukan Itali itu.
Ini bermakna, kerjasama Toyota dengan Haas lebih kepada aspek teknikal dan pembuatan. Tanpa melibatkan bekalan enjin.
Kemunculan Semula Dalam Arena F1
Ini adalah kali pertama Toyota kembali ke F1 selepas menutup pasukan mereka sendiri 15 tahun lalu. Sebelum ini, Toyota bertanding sebagai pasukan pengeluar selama lapan musim, mencatatkan 13 podium dan pencapaian terbaik mereka adalah kedudukan keempat dalam Kejuaraan Pengeluar.
Bagaimanapun, pasukan tersebut terpaksa ditutup pada tahun 2009. Walaupun mereka meninggalkan F1, TGR masih aktif dalam pelbagai siri sukan permotoran global termasuk FIA World Rally Championship, FIA World Endurance Championship, Nürburgring 24 Hours, Rali Dakar, serta beberapa siri pelanggan lain.
Perlu diingat bahawa kerjasama ini tidak melibatkan Toyota sebagai pembekal enjin. Namun Presiden Toyota Gazoo Racing, Tomoya Takahashi, menyatakan keterujaannya dengan perjanjian ini.
“Dengan bersaing bersama pasukan MoneyGram Haas F1 di puncak sukan permotoran, kami bertujuan untuk melatih pemandu, jurutera, dan mekanik,” kata Takahashi.
Langkah Strategik
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik Toyota untuk memperluaskan pengaruh mereka dalam sukan permotoran global, dan memberikan impak positif kepada kedua-dua pihak.
Bagi Haas, ini adalah peluang besar untuk meningkatkan daya saing mereka di F1 dengan sokongan teknikal daripada jenama ternama seperti Toyota.
Manakala bagi Toyota, kerjasama ini membuka pintu untuk kembali ke arena F1 tanpa perlu menubuhkan pasukan mereka sendiri. Dengan perkembangan ini, peminat F1 pastinya teruja untuk melihat sejauh mana kerjasama ini akan membawa kejayaan kepada pasukan Haas dan menghidupkan semula nama Toyota di pentas sukan permotoran paling berprestij ini.
Dari Car And Driver
Baca Juga Audi Ambil Alih Sepenuhnya Pasukan F1 Sauber
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.