Setelah lebih tiga dekad beroperasi di Sri Pentas Bandar Utama, operasi berita rangkaian televisyen Media Prima Berhad bagi saluran TV3, 8TV, TV9 dan Didik TV akan beralih lokasi dan bersiaran sepenuhnya di Balai Berita, Bangsar mulai 21 Oktober ini.
Saluran TV9 semalam membuka tirai Balai Berita Bangsar menerusi program Buletin TV9 yang dikendalikan oleh penyampainya, Fahiz Ariff dan Saree Abdullah dan ia akan diikuti oleh saluran-saluran lain selepas ini.
Sri Pentas sememangnya sudah menjadi sinonim dengan rangkaian televisyen Media Prima Berhad terutamanya bagi penonton generasi Millenial dan Gen Z yang membesar dengan menonton saluran-saluran yang ditawarkan.
Dengan perpindahan membabitkan studio dan sistem peralatan baharu ini, ia akan duduk sebumbung dengan semua platform media The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang menempatkan jenama-jenama media di bawah Media Prima seperti Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times.
Jom imbas semula lima fakta menarik mengenai Sri Pentas, Bandar Utama yang begitu signifikan dalam dunia penyiaran tempatan.
01
Sebelum wujudnya Sri Pentas, saluran TV3 mula menerbitkan program berita sendiri pada Januari 1985 bertempat di Jalan Liku, Bangsar di mana Allahyarham Dato’ Mahadzir Dato’ Lokman diberikan kepercayaan untuk menjadi pembaca berita pertamanya. Sebelum tahun 1985, hanya rangkaian Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menerbitkan berita televisyen di Malaysia.
02
Sri Pentas atau lebih dikenali sebagai ‘The Stage’ dalam kalangan pelopor dunia media dan kewartawanan pada era 90-an dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 22 Oktober 1996. Sejak itu, Sri Pentas mula menjadi markas kepada semua saluran televisyen dan radio Media Prima.
03
Sri Pentas bukan sahaja dipaparkan dalam program berita dan temubual di Media Prima. Banyak sebenarnya pasukan produksi lain termasuklah drama dan filem terbitan Media Prima dan Grand Brilliance yang menggunakan Sri Pentas sebagai set penggambarannya. Kalau korang masih ingat pada tahun 2001, filem Lagi-Lagi Senario pernah menjalani penggambaran di sebuah gerai yang dibina berlatarbelakangkan Sri Pentas. Kini, kawasan gerai itu sudahpun berubah menjadi tempat parkir kenderaan.
04
Sri Pentas juga tidak terkecuali daripada menjadi lokasi ancaman pihak tidak bertanggungjawab. Pada 28 Ogos 2018 kira-kira jam 10.30 malam, Si Pentas terpaksa dikosongkan serta-merta oleh 200 kakitangannya selepas ia menerima panggilan ancaman bom oleh seseorang yang mengaku dirinya sebagai ‘Imam Mahdi’. Unit Pengesan Bom PDRM melaksanakan pemeriksaan selama dua jam dan tidak menemui sebarang alat atau objek mencurigakan.
05
Tarikh 17 Januari 2024 akan tersemat sebagai antara tarikh bersejarah buat Sri Pentas apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Sri Pentas bagi membaca berita menerusi slot khas Buletin Diraja untuk siaran Buletin Utama pada jam 8 malam itu.
Pasangan diraja berkenaan merakamkan segmen tersebut sewaktu lawatan dilakukan pada jam 10.30 pagi hari yang sama di mana baginda berdua disambut oleh barisan pengurusan kanan Media Prima Berhad, diberikan taklimat mengenai operasi radio, bilik berita dan Media Prima secara amnya.
@remaja.my Hari yang cukup bersejarah bagi dunia media tempatan apabila #YangdiPertuanAgong, #AlSultanAbdullahRiayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan #RajaPermaisuriAgong, #TunkuAzizahAminahMaimunahIskandariah berkenan membuat kemunculan istimewa sebagai penyampai berita di slot khas Buletin Diraja pukul 8 malam tadi di saluran #tv3malaysia. Comel sangat telatah baginda berdua! 😁😁 Pada masa yang sama, rakyat turut memuji usaha baginda berdua untuk terus mempromosikan negeri Pahang menerusi laporan ternakan ikan patin di sana. REMAJA pasti, ramai dalam kalangan kita akan merindui baginda berdua yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan. Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (khas) telah mengisytiharkan #SultanJohor, #SultanIbrahimIskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024. Manakala, #SultanPerak, #SultanNazrinMuizzuddinShah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama. Klip: #buletintv3 #majalahremaja #remaja #remaja #agong #agongkita #yangdipertuanagong ♬ original sound – Remaja
SUMBER: (1) (2) (3) (4) (5) (6)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.