Jumpa ALLAH sebagai pencuri jika sengaja tak bayar hutang

ORANG yang sengaja tidak mahu bayar hutang bukan sahaja berdosa dan termasuk orang yang makan harta haram, tetapi juga di akhirat kelak, dirinya akan berjumpa dengan ALLAH sebagai seorang pencuri. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

SEKALI kita berhutang, sampai bila-bila diri akan terikat dengan komitmen untuk melunaskannya hingga selesai sekalipun nyawa sudah terpisah dari jasad.

Justeru tanggungjawab itu perlu segera dilangsaikan andai tidak mahu urusan itu berpanjangan ke hari akhirat kelak.

Jika ia sengaja tidak dibayar, bukan sahaja melibatkan dosa semata-mata, bahkan pada hari kiamat nanti pelakunya akan berjumpa dengan ALLAH SWT sebagai seorang pencuri.

Demikian tegas pendakwah, Ustaz Azhar Idrus yang dikongsikan menerusi infografik di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad.

USTAZ AZHAR IDRUS

“Orang yang sengaja tidak mahu bayar hutang adalah berdosa dan dia termasuk orang yang makan harta yang haram. Di akhirat nanti dia akan berjumpa dengan ALLAH sebagai seorang pencuri,” tulisnya.

Ia sebagaimana yang diriwayatkan oleh Suhaib RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Mana-mana orang yang berhutang sedangkan dia berniat untuk tidak membayar hutang tersebut, maka dia akan bertemu dengan ALLAH di akhirat nanti sebagai seorang pencuri.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengingatkan, walaupun Islam membenarkan umatnya berhutang apabila wujud keperluan dan kepentingan, tetapi ia tidak digalakkan sama sekali jika tujuannya untuk hidup bersenang-senang serta bermewah-mewahan.

Bahkan, Rasulullah SAW pernah berdoa kepada ALLAH SWT memohon agar dijauhi daripada bebanan hutang.

Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung kepada-MU dari dosa dan hutang”, lalu bertanya seseorang kepadanya: “Alangkah banyaknya doa engkau meminta jauh daripada hutang?” Maka Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mungkiri.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

“Doa Rasulullah SAW itu jelas menunjukkan bahawa berhutang merupakan amalan yang kurang sihat andai tidak diuruskan sebaiknya kerana boleh menyebabkan seseorang yang berhutang itu bercakap bohong ketika berbicara dan memungkiri janji apabila berjanji.

“Sebagai umat Islam, seharusnya kita berusaha menjauhinya sedaya mungkin,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk ‘Hutang: Hak yang akan dituntut di akhirat’ dalam portal rasmi MAIS.

MAIS menegaskan, orang yang sengaja tidak membayar hutang akan dituntut dan dipertangungjawabkan di hadapan ALLAH SWT pada hari akhirat kelak.

WALAUPUN Islam membenarkan umatnya berhutang apabila wujud keperluan dan kepentingan, tetapi ia tidak digalakkan sama sekali jika tujuannya untuk hidup bersenang-senang serta bermewah-mewahan. -Foto: Canva

Malah jika penghutangnya meninggal dunia dalam keadaan hutang masih belum dilunaskan dan waris-warisnya pula tidak melangsaikannya melalui harta pusaka si mati, MAIS menjelaskan, pahala kebaikan si mati akan digantikan untuk membayar hutang tersebut.

“Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam Abu Daud yang mana Rasulullah SAW bersabda ‘Sesiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan’,” katanya.

Seperkara lagi, hutang itu tidak terhad membabitkan pinjaman sesama manusia, tetapi juga institusi pinjaman lain yang melibatkan pembelian rumah, kereta, pinjaman peribadi dan seumpamanya.

Memetik artikel Al-Kafi #1325: Adakah hutang bank menyebabkan roh dan amalan akan akan tergantung, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, pembiayaan bank sama seperti hutang-hutang yang lain.

“Ia termasuk dalam ancaman berat terhadap hutang yang disebutkan oleh Rasulullah SAW.

ORANG yang sengaja tidak membayar hutang akan dituntut dan dipertangungjawabkan di hadapan ALLAH SWT pada hari akhirat kelak. -Foto: Canva

“Oleh itu, kami menasihati kepada masyarakat supaya berusaha sedaya upaya mengelakkan diri daripada berhutang kecuali jika diyakini mampu untuk membayarnya semula,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply