Tahniah Penerima Anugerah Best Papa & Mama Millennial 2024, Teruskan Jadi Inspirasi!

Pa&Ma Gala Award 2024 telah mengumumkan sepuluh selebriti yang terpilih sebagai penerima anugerah Best Papa & Mama Millennial. Pemilihan ini dilakukan berdasarkan perkongsian tip keibubapaan yang berguna serta persona mereka yang memberi impak positif kepada pengikut di media sosial.

Kesemua penerima anugerah ini memiliki kisah tersendiri sebagai ibu atau ayah, menjadikan mereka inspirasi kepada ramai orang.

Hebatnya Kisah 5 Penerima Anugerah Best Papa Millennial! 

Untuk kategori Best Papa Millennial, barisan pemenang terdiri daripada Achey yang berkongsi kisah hidupnya yang berubah sepenuhnya selepas kehadiran Nur Tiara Zinnirah. Cerita ahli perniagaan serta pelawak ini lagi, Tiara membuatkan dirinya dan isteri sebagai ibu ayah yang terbahagia di dunia selepas kehadirannya serta menjadi asbab rezeki keluarga mereka bertambah ‘murah’.

Syamel pula semakin matang dan bahagia selepas kelahiran Nur Khawla Soleha yang membuatkan hubungannya bersama isteri, Ernie Zakri tambah bahagia dan bermakna. Bukan itu sahaja, Syamel juga berkongsi yang dirinya kini bahagia dengan adanya penyeri dalam hidupnya iaitu isteri tercinta serta Khawla yang dikasihi.

Biarpun tidak pernah menyangka akan mejadi seorang ayah, namun kehadiran Hawra Uqaira telah membuka mata Kamal Adli tentang tanggung jawab untuk menjaga cahaya mata serta menghargai isteri. Biarpun pada awalnya agak kekok, tetapi menjadi seorang ayah ternyata membuatkan dirinya bertambah bahagia bersama isteri, Uqasha Senrose.

Mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Ana Nayla dan Aali Mateen membuatkan perkahwinan Nabil Mahir dan Ayda Jebat semakin bahagia dan diserikan rasa cinta. Nabil turut berkongsi kisah bagaimana kehadiran kedua-dua anaknya itu membuatkan dirinya menjadi lebih matang dan menghargai isteri tercinta.

Menjadi seorang ayah pada usia yang muda tidak menghalang Harris Alif untuk terus menjadi yang terbaik buat Evie Khadeeja dan Harris Umayr. Pelakon dan penyanyi ini juga mengakui hidupnya kini lebih bermakna dan dia lebih matang berbanding dahulu. Harris juga memberitahu dia sangat menghargai pengorbanan isteri, Intan Ladyana, yang melahirkan zuriat mereka berdua.

Terinspirasi Dengan Perkongsian 5 Penerima Anugerah Best Mama Millennial!

Pengorbanan yang dilakukan oleh Elfira Loy demi membesarkan anak-anaknya sendiri menjadikan dia salah seorang penerima anugerah ini. Kelahiran Muhamad Rayyan Khalaf dan  Nur Aria Mikayla menjadikan dirinya lebih matang dan bersemangat untuk memastikan hanya yang terbaik buat mereka berdua.  Ain Edruce, Wany Hasrita, Bella Astillah, dan Dr. Fie Tawfek.

Biarpun mempunyai personaliti yang happy go lucky, tetapi Ain Edruce sangat memandang serius peranannya sebagai ibu buat Soraya. Cerita Ain, dia dan suami sangat mementingkan keluarga dan sentiasa mahu meluangkan masa berkualiti bersama-sama untuk menguatkan jalinan kasih sayang dalam keluarga.

Biarpun sentiasa sibuk dengan tugas sebagai doktor gigi, Dr. Fie Tawfek akan pastikan dirinya untuk mengambil tahu perkembangan anak-anaknya. Bahkan menurut ibu beranak tiga ini, dia akan pastikan untuk mengajar Aafiya Kamilia dan Ahmad Aaffan mengaji serta bermain dengan Afzan Nayille setiap hari.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini sangat cekal dan tabah dalam menjalani ujian hidupnya. Bella Astillah tidak pernah menunjukkan kelemahannya tetapi terus bangkit demi membesarkan Mohamed Ayden Adrean dan Ara Adreanna. Selebriti berbakat besar ini tidak memandang ke belakang dan mengakui anak-anak adalah sumber kekuatan dirinya.

Wany Hasrita sukakan kehidupannya sebagai seorang ibu dan bahagia membesarkan Aishah Al Iman yang kini sudah menginjak usia satu tahun lebih. Biarpun terpaksa berjauhan dengan suami disebabkan keperluan bekerja, namun ibu muda ini tidak kekok dan menganggap perjalanan sebagai seorang ibu sesuatu yang membahagiakan.

Terima Kasih Rakan Strategik! 

Pa&Ma Gala Award 2024 – Best Papa & Mama Millennial tahun ini tidak akan lengkap tanpa sokongan  rakan strategik yang telah menyerikan sesi penggambaran bersama penerima-penerima anugerah tahun ini.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga ditujukan kepada The Westin Kuala Lumpur yang telah menaja lokasi penggambaran untuk episod Best Mama Millennial serta AngelsGift.My yang telah mengukir senyuman di wajah semua penerima anugerah dengan jambangan bunga istimewa.

Sedikit info, The Westin Kuala Lumpur menawarkan lokasi yang hebat di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Dengan bilik-bilik yang moden dan mewah, hotel ini dilengkapi dengan kolam renang luar dan para tetamu boleh menikmati hidangan dari tiga pilihan restoran di dalam hotel atau bersantai di bar. WiFi percuma tersedia di seluruh kawasan hotel.

Terletak dalam jarak berjalan kaki dari The Westin Kuala Lumpur, terdapat pusat membeli-belah seperti Pavilion, Lot 10, dan Sungei Wang. Kemudahan lain di dalam hotel termasuk pusat kecergasan. Tempah rawatan spa di dalam bilik atau hubungi kaunter penerimaan tetamu 24 jam hotel untuk perkhidmatan dobi atau pengaturan lawatan.

Para tetamu boleh menikmati hidangan antarabangsa di restoran The Living Room. Snek dan minuman juga disediakan di restoran tepi kolam, Splash.

Anugerah ini bukan sahaja meraikan pencapaian para selebriti, tetapi juga menggalakkan penglibatan dan sokongan dalam komuniti keibubapaan di kalangan generasi milenial.

Comments

Leave a Reply