Apabila usia sudah menjangkau 30an, tekanan darah antara metrik kesihatan yang perlu diambil peduli. Isu darah tinggi ditemukan pada 41% individu berusia antara 30-79 tahun di Malaysia menurut laporan WHO pada tahun 2019. Ini adalah lebih tinggi berbanding purata global sekitar 34%. Tetapi kajian terkini daripada penyelidik dari Johns Hopkins Medicine mendapati bacaan tekanan darah yang diambil doktor selama ini mungkin tidak tepat menyebabkan ramai dilabel mempunyai isu darah tinggi.
Untuk bacaan paling tepat, penyelidik mengatakan bacaan perlu diambil dengan tangan diletakkan pada aras yang sama dengan jantung. Tangan juga perlu disokong di atas di permukaan yang rata. Jika tangan diletakkan di atas riba bacaan tekanan sistolik adalah 3.9 mmHg lebih tinggi dan diastolik pula 4.0 mmHg lebih tinggi. Sementara itu jika tangan diletakkan pada sisi ketika bacaan dilakukan, tekanan sistolik ialah 6.5 mmHg lebih tinggi dan diastolik pula 4.4 mmHg lebih tinggi.
Bacaan tepat perlu diambil kerana perbezaan bacaan boleh membezakan penyakit darah tinggi Tahap 1 dengan Tahap 2. Walau bagaimanapun penyelidik mengatakan isu bacaan tidak tepat ini hanya melibatkan alat bacaan tekanan darah automatik dan bukan alat bacaan tekanan darah manual. Memandangkan alat bacaan automatik kini semakin popular dan mampu milik, kesilapan bacaan ini akan berlaku dengan kerap tanpa disedari.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.