Gagal Check-in Ke Syurga Hanya Kerana Berkata “Ah” Pada Ibu

Sebagai anak, keutamaan kita adalah ibu, kerana dia adalah pemegang kunci syurga kita. Kita semuanya anak, dan selamanya anak. Walau siapa pun kita, berapa pun usia kita, sama ada ibu kita masih hidup atau telah pergi, kita adalah tetap seorang anak kepada ibu kita. Tiada istilah pencen untuk jawatan seorang anak. Bidang tugas seorang anak perlu kita sempurnakan sehingga ke akhir hayat kita.

Ibu merupakan insan yang sangat suci dan mulia. Betapa banyak pengorbanan yang dilakukan semata-mata untuk melahir dan membesarkan kita menjadi manusia.

Bermula dengan sabarnya ibu menghadapi kesusahan sewaktu mengandungkan kita sembilan bulan, sanggup berdepan dengan risiko kematian ketika bersalin, menghabiskan seluruh tenaga dan masa sepanjang hayatnya semata-mata untuk memastikan kita membesar.

Kalau diimbas ke belakang, ibulah yang mengandungkan kita, menahan mual, loya dan sakit ditendang ketika kita dalam kandungannya. Berkongsi nyawa, darah dan makanan.

Ketika melahirkan kita, diumpamakan seolah-olah separuh mati. Namun, sebaik sahaja kita keluar dari rahimnya, segala kesakitan dan luka cedera hilang disirna rasa bahagia dan perasaan kasih sayang yang melimpah.

Kita membesar dalam pelukannya setiap masa. Berkongsi susunya demi melihat kita sihat. Malah sehingga kita boleh merangkak, berjalan, bercakap dan berlari, semuanya di bawah pengawasan ibu.

Pada ibu, nyamuk atau semut yang hinggap pada tubuh anak-anak, semuanya musuh. Andainya kita demam, ibu akan turut demam. Di waktu kita tidak tidur, ibu juga turut berjaga, dan bila kita tidur, ibu tetap juga berjaga bimbang kalau-kalau kita terjaga.

Sehinggalah kita meningkat usia kanak-kanak, remaja dan dewasa, ibu masih terusan memikirkan hal-hal kita, meskipun kita terkadang terlupa untuk memikirkan hal-hal mereka. Keletah dan kerenah anak-anak biasanya mudah difahami oleh ibu, tetapi alangkah ramai anak-anak yang tidak betah dengan kerenah ibu sewaktu mereka berusia.

Merenung wajah ibu seharusnya menyedarkan kita betapa kedutan, parut luka dan kasarnya kulit ibu, segalanya disebabkan sepanjang hidupnya sarat dengan pengalaman untuk membesarkan kita! Kerana itulah, barangkali kenapa Rasulullah menyebut dalam suatu hadis baginda, bahawa melihat sahaja wajah ibubapa, sudahpun dikira ibadah.

Kerana itu, Allah mengangkat darjat seorang ibu ke tempat paling teratas selepas Allah dan rasulNya, juga mengatasi kedudukan seorang bapa. Meskipun dalam rumahtangga, suami lebih tinggi kedudukannya berbanding isteri, namun bagi anak-anak, ibu mengatasi bapa.

Kewajipan mentaati, berbakti, larangan menyakiti hati mahupun hanya dengan kata-kata ‘uh’ menjelaskan betapa kedudukan ibu begitu suci dan mulia. Dianugerahkan Allah kepada para ibu, suatu detik pada setiap hari di mana doa mereka langsung kepada Allah tanpa hijab.

Meskipun sekian lama sepanjang hayat kita sebagai anak, menggunakan nama bapa sebagai sandaran keturunan pada nama kita, namun di saat talqin dibacakan kepada kita di pusara, hanya nama ibu yang disandarkan, kerana itulah satu-satunya sandaran darah daging yang paling sahih.

Ibu juga dianugerahkan kemuliaan mengatasi kedudukan bapa. Malah, kunci untuk kita memasuki syurga juga mesti terlebih dahulu mendapatkan kunci keredhaan ibubapa.

Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya:

“Redha Allah bergantung kepada redha ibubapa, dan murka Allah bergantung kepada murka ibubapa.” (HR Al Hakim)

Dalam hadis yang lain, seorang sahabat bernama Jahimah RA datang menemui Rasulullah SAW meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi jihad. Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda: “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”  (HR An Nasai)

Banyak ayat Al Quran dan hadis yang memperingatkan kita betapa besarnya pengorbanan seorang ibu, sehingga melayakkan dirinya menjadi penentu destini kita, ke syurga atau ke neraka. Allah SWT berfirman mafhumnya:

“Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepadaKu dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepadaKu kamu akan kembali.”  (Luqman: 14)

Kita juga sering mendengar kisah dalam sirah Rasulullah SAW, bagaimana seorang sahabat, Alqamah yang sukar menyebut syahadah di akhir hayatnya kerana melebihkan isterinya daripada ibunya.

Begitu juga kisah pada zaman Bani Israil, seorang pemuda bernama Juraij difitnah dan dituduh berzina sebagai akibat tidak menyahut panggilan ibunya, ketika ia sedang bersolat sunat. Hanya kerana tindakan sebegini menyebabkan ibu bersedih atau berkecil hati, hidup kita kehilangan barakah dan rahmah Allah.

Kepada para ibu, pengorbananmu tidak pernah akan boleh dibalas oleh anak-anak. Malah, untuk hanya jasa melahirkan anak-anak sahaja pun sudah tidak mampu untuk anak-anak membalasnya.

Foto: Ketut Subiyanto

Mana mungkin ada anak yang mampu melahirkan ibunya, atau menghidupkan semula ibunya apabila meninggal. Sehinggakan Rasulullah SAW pernah memberi sindiran betapa anak-anak yang ingin membalas jasa ibu melahirkannya, hanya dengan satu cara iaitu memerdekakan ibunya daripada menjadi hamba.

Ironisnya, mana mungkin ada anak yang dilahirkan bebas, kalau ibunya hamba. Lantas, bagaimana mungkin anak mampu membeli ibunya dan memerdekakannya?

Ini bermaksud, adalah mustahil untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanan ibu yang menghabiskan seluruh usianya untuk berkhidmat kepada anak-anak, tanpa bayaran!

Kita tidak miliki banyak masa untuk menyembah bakti kepada ibu, si pemilik kunci syurga kita. Lakukan apa sahaja yang boleh menggembirakan ibu, dan elakkan daripada menyebabkan ibu tersentuh hati.

Setiap kita hanya ada seorang ibu, tidak boleh ditambah atau ditukar ganti. Bersegeralah kita mentaati dan menambah bakti kepada ibu sebelum sampai terlewat waktu. Biar kita berpenat berulang alik ke kamar ibu, sebelum sampai masa nanti kita hanya mampu berulang alik ke makam ibu.

Sumbangan Artikel: Assoc Prof Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat (UiTM).

Comments

Leave a Reply