KEHEBATAN Rasulullah SAW sebagai pemimpin agung sepanjang zaman tidak dapat ditandingi sesiapa walaupun lebih 1,400 tahun Baginda meninggalkan kita.
Semua itu hasil tarbiah dan bimbingan daripada ALLAH SWT dipandu oleh wahyu Ilahi.
Tidak mungkin seseorang boleh menjadikan al-Quran itu sebagai panduan jika tidak memahaminya melainkan mempunyai kehendak, istiqamah dan azam yang kuat untuk beramal dengannya.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, ALLAH SWT memilih Nabi Muhammad SAW yang ummiy (buta huruf) sebagai nabi dan rasul terakhir dengan mukjizat al-Quran supaya tidak ada pihak yang menuduhnya mencipta kalamullah itu.
Bukan sekadar menurunkan al-Furqan dan membangkitkan rasul, jelas beliau, ALLAH SWT turut mengajar ilmu serta kandungan dalam mukjizat agung itu, di samping mengurniakan al-Hikmah kepada Baginda.
“Apatah lagi Baginda memimpin masyarakat yang pelbagai pemikiran dan pandangan. Bahkan, Baginda juga merupakan nabi dan rasul terakhir yang sudah melihat sejarah umat-umat terdahulu.
“Daripada pengalaman inilah mengajar Nabi Muhammad SAW yang lahir di tengah-tengah masyarakat jahiliah untuk mengurus manusia,” katanya ketika menjadi panel pada program Sinar Al-Jumu‘ah Khas 2024 Siri 10 bertajuk Mencari pemimpin berjiwa rahmah terbitan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Jumaat lalu.
Rancangan itu dikendalikan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Ustaz Fazrul Ismail dan bacaan al-Quran dialunkan oleh qari, Ustaz Faris Hadi Taufik.
Bukan mudah untuk mengubah masyarakat yang sudah sebati dengan tradisi jahiliah diwarisi daripada nenek moyang kepada budaya Islam, yang agak asing bagi mereka.
Bagi memulakan penghijrahan itu, Tuan Ibrahim menjelaskan, ALLAH SWT memandu Rasulullah SAW supaya membina akidah, keyakinan dan keimanan manusia kepada-NYA terlebih dahulu sebelum melihat aspek lain seperti ekonomi, politik dan sosial.
“Daripada keyakinan itulah yang akan melahirkan beberapa perubahan kerana bila kita yakin ALLAH MAHA MELIHAT, DIA akan menghisab segala amalan dan apa dikerjakan akan dicatat, semua perkara akan dilakukan bersungguh-sungguh.
“Ini kerana kita tahu pasti akan ada ganjaran menanti di akhirat kelak,” katanya.
Di samping itu, jelas Tuan Ibrahim, Rasulullah SAW turut menggunakan pendekatan yang ‘mendekatkan‘ orang kepada nilai-nilai Islam dan menggembirakan bagi menghadapi masyarakat jahiliah untuk memperbaiki mereka,” katanya.
Lemah lembut, tegas
Berdasarkan ayat ke-159 surah Ali Imran, ujar Tuan Ibrahim yang juga bekas pensyarah, Nabi Muhammad SAW bersifat lembut jiwanya disebabkan rahmat dari ALLAH SWT kerana jika pendekatan keras diambil, ramai yang akan ‘lari‘.
Kadangkala walaupun sudah ada ungkapan maaf diucapkan, tetapi katanya, belum tentu lagi kita akan mendoakan supaya ALLAH SWT mengampunkan dosa orang yang berbuat silap dengan kita sebagaimana dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.
“Ketika menawan kota Makkah, Baginda membebaskan semua tawanannya. Kalau kita (di tempat Nabi), pasti sudah lama melampiaskan dendam kerana pelbagai cercaan dibuat mereka kepada Baginda sebelum ini,” katanya.
Meskipun bersifat lemah lembut, jelas beliau, masih ada ketegasan dalam diri Rasulullah SAW sebagai pemimpin.
“Lemah lembut bukan bermakna tidak tegas, sedangkan sikap tegas itu wajib dan bersifat keras itu tidak boleh,” tuturnya.
Sikap itu dapat dilihat ketika Abu Dzar Al-Ghifari RA datang bertemu Nabi Muhammad SAW di Madinah untuk mengisi jawatan kosong diiklankan oleh Baginda, ungkapnya.
“Namun, Nabi mengatakan ‘Kamu ialah insan lemah. Sesungguhnya ia (kepimpinan) adalah amanah. Sesungguhnya ia pada hari kiamat adalah penyesalan, melainkan jika insan mengambilnya dengan hak dan menunaikannya dengan sebaiknya‘.
“Apa jua jawatan memang kena isi, tetapi biarlah orang yang menjawatnya itu benar-benar memahami betapa berat tanggungjawabnya, tetapi jika orang soleh tidak mengisinya dan diisi oleh orang fasik, jangan dukacita jika berlaku kemungkaran.
“Sebab itulah orang soleh kena penuhinya, bukan soal mahu berebut jawatan, tetapi ia membabitkan amanah ALLAH SWT. Jika kaki rasuah yang mengisi jawatan, habis hancur (kepimpinan),” terangnya.
Tauhid asas penting
Berdasarkan fakta itu, ujar Tuan Ibrahim, jelas betapa signifikannya pemimpin berjiwa rahmah.
“Lihat sahaja pada rahmah Nabi Muhammad SAW yang menyebabkan Baginda memaafkan, mendoakan supaya ALLAH SWT mengampunkan dosa orang itu dan mengadakan mesyuarat.
“Seperkara lagi, sebagai pemimpin, kita mengadakan mesyuarat itu bertujuan untuk menghargai orang lain dan mendengar pandangan mereka, bukannya memperlekehkan orang.
“Apabila sudah mendengar pandangan semua, Nabi buat keputusan, maka Baginda berserah kepada ALLAH SWT,” katanya memperincikan tentang sifat kepimpinan Rasulullah SAW yang dipenuhi rahmat ALLAH.
Mantan Menteri Alam Sekitar dan Air itu kemudian menghuraikan tentang tauhid yang menjadi asas penting dalam kepimpinan.
“Walaupun seseorang itu bergelar jurutera, peguam, doktor dan sebagainya, ia tetap ada hubungan kuat dengan iman yang menyebabkan mereka akan dipandu olehnya.
“Apatah lagi setiap kali solat kita pasti akan memohon agar ditunjukkan jalan yang lurus dan hidayah-NYA kerana tiada siapa tahu apa akan jadi pada masa akan datang,” ungkapnya.
Apa pun katanya, hebat mana pun seorang pemimpin, dirinya tidak boleh bersendirian dan mesti bersama pasukan atau jemaah yang membimbingnya.
“Ini kerana kita bukannya maksum,” ungkap beliau.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.