GWM (Great Wall Motor) Malaysia telah melancarkan SUV hibrid terbarunya. GWM HAVAL H6 HEV, yang kini tersedia di pasaran Malaysia dengan harga RM139,800.
Pelancaran ini menandakan permulaan era baru untuk teknologi SUV hibrid di negara ini. GWM HAVAL H6 HEV menawarkan teknologi hibrid canggih, rekaan yang menawan, dan pelbagai ciri moden.
Menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang mementingkan prestasi, kelestarian, dan keselamatan.
Tawaran Istimewa untuk Pemilik Awal
Bagi meraikan pelancaran model ini, GWM Malaysia menawarkan beberapa pakej menarik. Ini termasuk servis penyelenggaraan percuma selama 5 tahun (termasuk alat ganti dan kos buruh) untuk pemilik yang mendaftarkan kenderaan ini pada tahun 2024.
Tambahan lagi, terdapat rebat RM3,000 bagi tempahan sebelum 20 Oktober 2024 dan rebat kesetiaan sebanyak RM3,000 untuk pemilik sedia ada kenderaan GWM.
Selain itu, GWM HAVAL H6 HEV dilengkapi dengan waranti yang mengagumkan – 10 tahun atau 1 juta kilometer untuk enjin, 8 tahun atau 1 juta kilometer untuk sistem hibrid. Serta 7 tahun atau 200,000 kilometer untuk keseluruhan kenderaan, tidak termasuk bahagian yang mudah haus.
Prestasi dan Kuasa Mengagumkan
SUV ini dikuasakan oleh enjin turbo hibrid 1.5L. Ia menghasilkan gabungan kuasa 243 PS dan tork 530 Nm.
Ini membolehkan pecutan dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 7.7 saat. Dengan teknologi ‘Dedicated Hybrid Transmission’ (DHT). Peralihan antara kuasa petrol dan elektrik berlaku dengan lancar. Ini memberikan pengalaman pemanduan yang selesa dan responsif.
Kadar penggunaan bahan api juga sangat efisien, iaitu 5.8L/100 km, dengan jarak perjalanan sehingga 1,000 km dengan satu tangki penuh.
Reka Bentuk Luaran dan Dalaman yang Mempesona
Dari segi reka bentuk, GWM HAVAL H6 HEV tampil dengan gril hadapan ‘Star Matrix’ yang memberikan sentuhan mewah dan futuristik.
Lampu depan LED ultra-terang dan lampu belakang LED mendatar bukan sahaja menambah elemen estetik, tetapi juga meningkatkan keselamatan pemanduan malam.
Di bahagian dalam, SUV ini menawarkan keselesaan kelas pertama dengan tempat duduk hadapan berventilasi, bumbung panoramik, dan pelarasan kuasa 8-hala untuk pemandu.
Konsol tengah dua peringkat juga menyediakan ruang simpanan tambahan, menjadikannya lebih praktikal untuk pemandu dan penumpang.
Ruang But Luas dan Fleksibel
Dengan kapasiti ruang but 560L. GWM HAVAL H6 HEV menawarkan ruang yang cukup luas untuk keperluan harian atau percutian keluarga.
Tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, menambah kapasiti hingga 1,485L untuk barangan bersaiz besar.
Teknologi dan Keselamatan Terkini
GWM HAVAL H6 HEV dilengkapi dengan teknologi infotainment terkini, termasuk paparan 12.3-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, serta panel instrumen digital 10.25-inci.
Ia juga mempunyai kamera 360 darjah dan Fungsi Casis Lutsinar, yang memberikan pandangan menyeluruh ketika memandu.
Dari segi keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem L2 ‘Advanced Driver Assistance System’ (ADAS) yang merangkumi pelbagai ciri, termasuk ‘Adaptive Cruise Control’, ‘Lane Keeping Assist’, dan ‘Blind Spot Detection’.
Ciri unik seperti ‘Auto Reversing Assistance’ membolehkan SUV ini mengundur secara automatik dengan jarak sehingga 50 meter, memastikan keselamatan maksimum dalam situasi parkir yang sempit.
Pelancaran GWM HAVAL H6 HEV ini menandakan kemunculan baru dalam pasaran SUV Malaysia. Menawarkan pilihan hibrid berprestasi tinggi, selesa, dan berteknologi tinggi dengan harga yang berpatutan.
Dengan pakej waranti yang komprehensif dan ciri-ciri canggih, ia pasti menjadi pilihan menarik untuk pemandu yang mahukan gabungan kelestarian dan prestasi.
Dari GWM Haval
Baca Juga Nikmati Pemanduan Tenang – GWM Malaysia Tampil Promosi Eksklusif Ora Good Cat
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.