Keterujaan jelas dapat dirasai oleh segenap rakyat Malaysia apabila istiadat perkahwinan diraja di antara Putera Diraja Pahang YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan sedang dilangsungkan satu-persatu mengikut adat resam kedua-dua belah pihak.
Antara yang mencuri perhatian ramai adalah Majlis Adat Midodareni yang telahpun berlangsung di Taman Duta, Kuala Lumpur pada hari Ahad, 6 Oktober lalu.
Tentunya ramai yang tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan majlis Midodareni dan apakah signifikannya bagi kedua-dua bakal pasangan mempelai tersebut?
Untuk pengetahuan korang, Midodareni atau lebih mudah difahami sebagai majlis suai kenal adalah persis majlis merisik yang selalu berlaku dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu.
Bagi masyarakat Jawa terutama di Indonesia, majlis sebegini dikenali sebagai Midodareni dan asal namanya itu adalah daripada bahasa Jawa iaiu widodari yang membawa maksud bidadari.
Menurut laman sesawang rasmi Dinas Kebudayaan Provinsi di Yogyakarta, masyarakat Jawa di sana mempercayai terdapat banyak bidadari yang akan turun dari kayangan ketika malam majlis berlangsung.
Masyarakat Jawa turut mempercayai kehadiran bidadari ini adalah untuk memberikan restu kepada bakal pengantin perempuan agar wajahnya juga akan terus berseri ibarat melihat kelibat bidadari sendiri. Oleh sebab itu, sepanjang majlis berlangsung, bakal pengantin perempuan harus berada di dalam sebuah bilik.
Haa, dari sinilah berasalnya istilah dipingat, dirisik atau disunting tadi. Hanya pengantin lelaki dan rombongan kerabat keluarganya yang akan meneruskan majlis bersama keluarga sebelah perempuan.
Dalam majlis Midodareni, terdapat beberapa acara yang disusunkan demi menjaga tata terbit adat resam.
Pertama sekali adalah Jonggolan iaitu apabila keluarga bakal pengantin perempuan menyambut kehadiran bakal pengantin lelaki dan keluarganya.
Sewaktu ini, keluarga pengantin perempuan boleh melihat siapakah gerangan pengantin lelaki, sama ada dia memenuhi kriteria yang dicari, berada dalam keadaan sihat dan ikhlas untuk menikahi puteri mereka. Mereka juga akan menyerahkan hantaran berupa barangan keperluan harian kepada keluarga pengantin perempuan dalam jumlah angka ganjil
Majlis diteruskan dengan acara Tantingan di mana bakal pengantin lelaki tadi hadir meminta restu dan mendapatkan jawapan daripada pihak perempuan. Kedua orang tuan pengantin perempuan perlu membuat keputusan bagi pihak anak mereka sama ada untuk menerima risikan tersebut ataupun tidak.
Kemudian, tiba pula masa untuk acara Catur Wedha. Haa, ia bukanlah permainan catur tau! Catur Wedha merupakan proses di mana bapa (atau wakil ahli keluarga lelaki) pengantin perempuan akan menyampaikan pesanan kepada pengantin lelaki.
Inti pati tersebut selalunya berkisarkan nasihat dan pedoman hidup berumah tangga seperti melindungi bakal isteri sepenuh hati, memenuhi keperluan sang isteri, menjaga kesejahteraan isteri dengan perasaan cinta dan agar bakal suami menjadi pemimpin yang adil untuk keluarganya.
Akhir sekali adalah acara Wilujeng Majemukan. Ia merupakan detik di mana kedua buah keluarga mengeratkan silaturrahim. Selain bersuai kenal, mereka juga boleh saling menukar hantaran dan dalam adat masyarakat Jawa, keluarga pengantin lelaki juga akan menyerahkan satu barangan pusaka keluarga ataupun keris sebagai simbol kepada janjinya untuk melindungi keluarga yang bakal dibina nanti.
Barulah kita faham kan mengapa Majlis Midodareni dilangsungkan antara mempelai diraja ini. Ia kerana Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan mewarisi darah Jawa dalam keluarganya.
Selain Majlis Midodareni, istiadat lain yang telahpun dilangsungkan adalah Majlis Khatam Al-Quran oleh pengantin perempuan pada 4 Oktober.
BACA: Tengku Natasya, Kenali Bakal Suri Hati Tengku Muhammad Iskandar – REMAJA
Bermula 22 Oktober kelak, barulah beberapa lagi istiadat lain akan menyusul termasuklah Istiadat Meletak Kerja, Doa Selamat, Majlis Tahlil, Istiadat Bernikah (22 Oktober), Istiadat Berinai (25 Oktover) dan Istiadat Persandingan Diraja (27 Oktober). Kesemuanya akan berlangsung di Istana Abdulaziz, Pahang.
Akhir sekali, istiadat perkahwinan diraja ini akan dilabuhkan dengan Menutup Kerja Istiadat Perkahwinan Putera Diraja (28 Oktober).
View this post on Instagram
SUMBER: Media Sosial Kesultanan Pahang, Dinas Kebudayaan Daerah Istimewa Yogyakarta.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.