Susu Banyak, Tubuh Bertenaga Walau Ibu Berpuasa, Ini Tip Kenyangkan Anak Ketika Bulan Ramadan

Bagi ibu yang menyusu, ketika berpuasa, masalah yang sering dibimbangkan ialah tentang ‘bekalan’ susu badan untuk anak. Ibu yang menyusukan pastinya lebih letih dan merasa lapar ketika berpuasa.

Sebenarnya anda tidak perlu pun meninggalkan ibadah berpuasa asalkan ada pengetahuan bagaimana untuk mengekalkan tenaga berpanjangan. Paling penting, usah lupa bersahur dan ambil makanan berkhasiat.

Susu Banyak, Tubuh Bertenaga Walau Ibu Berpuasa

Berikut dikongsikan 25 tip untuk berpuasa walaupun anda aktif menyusukan anak. Tip-tip berguna ini dikongsikan oleh Kaunselor penyusuan, Juzaila Abd Satar.

Kaunselor Penyusuan, Juzaila Abd Satar.

Ini Tip Kenyangkan Anak Ketika Bulan Ramadan

1.Sentiasa positif dan berdoa serta yakin Allah SWT akan membantu memudahkan proses penyusuan ibu dan anak.

2.Minum air yang cukup ketika berbuka puasa, sebelum tidur, antara waktu tidur dan semasa bersahur.

3.Lewatkan waktu bersahur. Banyakkan pengambilan air masak dan makanan pemberi tenaga seperti susu dan kurma sebelum makan berat.

4.Kekalkan kekerapan memerah jika bekerja. Jangan risau jika susu sedikit kurang, teruskan mengepam dan menyusukan. Jika permintaan tinggi, penghasilan susu juga akan bertambah.

5.Tingkatkan kekerapan menyusu terus ke payudara ketika bersama

6.Seimbangkan pengambilan karbohidrat kompleks. Anda boleh ambil lebih sedikit kuantiti karbohidrat jika berpuasa dan menyusukan.

7.Ambil makanan tinggi protein seperti daging tanpa lemak, ikan, ayam, dan telur yang dimasak dengan baik.

8.Berbuka dengan air kelapa tanpa gula. Air kelapa bukan sahaja baik untuk melegakan rasa dahaga tetapi ia boleh membantu mengatasi masalah dehidrasi ketika berpuasa.

9.Elak makanan tinggi garam kerana ia akan menyebabkan kehausan.

10.Lebihkan sayuran ketika berbuka puasa dan bersahur. Anda boleh makan salad dan tambahkan telur rebus serta mayones untuk hidangan pantas tetapi cukup nutrisi untuk bekalan tenaga ketika berpuasa.

11.Ambil makanan berasaskan sup. Paling baik, anda buatlah sup sayur. Jika menyusukan, makanlah sup lobak putih untuk membekalkan tenaga dan menggalakkan penghasilan susu badan.

12.Kurangkan pengambilan gula dan lemak secara berlebihan kerana ia akan mengakibatkan kurang air dalam badan serta membuat badan menjadi mudah letih.

13.Ambil buah-buahan tinggi air seperti tembikai atau buah yang kaya dengan kalori seperti pisang.

14.Elak terdedah pada cuaca diluar yang panas dalam tempoh yang lama untuk mengelakkan dehidrasi.

15.Hentikan pengambilan makanan segera.

16.Elakkan makanan yang bergoreng dan tinggi kandungan rempah di dalamnya.

17.Kurangkan pengambilan kafein seperti teh dan kopi yang akan menyebabkan ibu asyik membuang air kecil. Tanpa pengambilan air masak yang secukupnya, ibu menyusu boleh mengalami dehidrasi dan mengganggu penghasilan susu.

18.Tidur awal supaya tidak letih dan mengganggu emosi.

19.Jadikan kurma dan kekacang sebagai kudapan pada waktu malam.

20.Sentiasa positif dan kekalkan emosi ceria.

21.Ambil jus buah-buahan sebenar tanpa gula supaya tidak mengganggu khasiatnya.

22.Tangguhkan dahulu kerja-kerja berat yang memerlukan tenaga yang banyak.

23.Berehat atau tidur sebentar pada waktu tengahari.

24.Sediakan stok susu secukupnya jika perlu dibekalkan kepada anak. Jika jumlah susu kelihatan berkurangan dan memberi kesan kepada anda dan bayi, berehatlah dari berpuasa untuk satu atau dua hari.

25.Jangan paksa diri dan kenali tanda-tanda dehidrasi. Jika ada, banyakkan pengambilan air masak serta buah-buahan yang tinggi kandungan air.

Paling penting buat ibu yang menyusu pastikan mengambil makanan yang mencukupi untuk keperluan tubuh. Dapatkan rehat yang cukup, barulah pengeluaran susu badan tidak terganggu.

Artikel berkaitan: Air Rebusan Kurma Merah Bantu Tambah Susu Badan, Wanita Ini Kongsi Petua Dari Kawan Cina

Keledek Putar, Makanan Tambah Susu Badan, Mama Cuba Amalkan

Nak Meriahkan Susu Badan Masa Pantang, 2 Menu Simple Ni Sedapnya Lain Macam!

Comments

Leave a Reply