12 Tip Mendulang Pahala Dengan Ibadah Mudah

“Wahai jiwa-jiwa yang sentiasa tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau reda dan aku reda. Dan berkumpullah kalian dalam kalangan orang-orang yang berbahagia dan masuklah kalian ke dalam syurga”.

Jelas sekali bahawa satu-satunya matlamat hidup kita di dunia ialah untuk mendapat reda Allah. Peganglah peringatan dalam hati dan teruskanlah mencari pahala dengan ibadah mudah demi mendapat reda Allah. Banyakkan ibadah dan tingkatkan ketakwaan, maka reda Allah dalam tangan.

Kita ikuti perkongsian tip berguna bagaimana kita boleh memperoleh reda Allah dengan hanya melakukan ibadah harian mudah ini oleh Miqdad Ashaari.

Jangan tinggal solat sunat qobliah (sebelum) subuh, sekalipun kita bangun jam 6:40 pagi kerana Nabi SAW ada bersabda bahawa ganjaran solat ini adalah lebih baik dari dunia dan seisinya. Kecuali dah terlampau hampir waktu subuh habis, maka hendaklah segera kerjakan solat fardhu subuh.

Zikir Subhnanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar sebanyak 33 kali jangan ditinggalkan setiap kali lepas solat. Kerana ini lah zikir khas buat menantu Nabi SAW sebagai zikir istiqamah penguat semangat.

Berusahalah sedaya upaya untuk solat subuh berjemaah di rumah-rumah Allah atau paling kurang berjemaah dengan isteri dan anak di rumah, kerana ganjaran solat subuh berjemaah adalah sama seperti berqiamullail sepanjang malam.

Jangan dilepaskan peluang berdoa selepas azan sebelum iqomah setiap waktu solat kerana di sana di antara waktu-waktu mustajabnya doa.

Pelajari serta hayati setiap bait-bait bacaan dalam solat, bawa ia setiap kali solat, seolah-olah kita berbisik-bisik mengadu hal dengan Robbul Jalil setiap kali kita solat, agar dengan yang demikian hati kita sentiasa berada dlm solat, mudah-mudahan dengan asbab itu jugalah hati kita tidak lalai setiap kali solat (memang itu pun di antara tujuan 5 kali sehari kita bersolat) dan itu janji Allah bahawa solat yang sedemikianlah punyai roh untuk menjaga kita dari berbuat keji dan mungkar.

Jangan dilepaskan al-Quran setiap hari terutama selepas solat subuh, bacalah apa juga surah, selain jadikanlah amalan 3 surah ini setiap hari iaitu, 10 awal dan akhir surah al-Kahfi, surah al-Waqiah, juga surah al-Mulk. Asbab kepada sabda Nabi SAW : Bacalah Al Quran, sesungguhnya al-Quran itu akan memberi syafaat (pertolongan) pada sahabat-sahabatnya.

Jangan ditinggalkan solat-solat sunat qobliyyah ba’diyyah, witir, dhuha kerana solat sunat itu menambah asbab kepada redhanya Allah pada kita.

Sentiasalah istiqamah solat di awal waktu. Wanita; bersedia, ternanti-nanti masuknya waktu solat manakala lelaki berusaha istiqamah solat berjemaah di rumah-rumah Allah kerana ia adalah sunnah Nabi kita SAW yang utama.

Lazimi menjaga wudhu’ setiap masa kerana orang yang punyai wuduk akan di dampingi para malaikat-malaikat Allah.

Amalkan sentiasa bawa ke mana-mana kayu sugi untuk bersugi kerana ada 70 kelebihan orang-orang yang sentiasa bersugi; antaranya, zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran orang yang bersugi lebih 70 kali disukai Allah berbanding bacaan orang-orang yang tak bersugi.

Dua rakaat solat orang yang bersugi juga lebih disukai Allah vs 70 rakaat solat orang yang tak bersugi dan juga syaitan benci pada golongan-golongan mereka yang istiqamah bersugi.

Riwayat Aisyah r.a, bahawa aku tidak bisa mengira berapa kalikah dalam sehari Rasulullah SAW bersugi. Dikatakan juga perkara terakhir yang Rasulullah SAW lakukan sebelum ajalnya sampai adalah Baginda SAW sempat bersugi.

Sentiasalah melazimi lidah untuk berzikir seperti selawat atau kalimah-kalimah taubat atau kalimah-kalimah tauhid asbab kita bersugi dikatakan mulut kita ringan untuk tujuan itu.

Lazimi berpagi-pagi dengan kurma dan ambillah juga ia sebelum tidur kerana khasiat makanan sunnah ini sudah cukup sempurna bagi menjana hormone-hormon perangsang kesihatan dan kecergasan tubuh serta juga minda kita untuk menjurus kepada sentiasa berfikir yang positif setiap hari.

Kesimpulan : Berusahalah menyantuni akan setiap perkara-perkara sunnah dan ma’ruf setiap masa kerana itu semua akan mengundang reda Allah kepada kita.

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply