Honda sekali lagi mengejutkan dunia automotif dengan pelancaran versi terkini skuter maxi mereka, Honda Forza 750.
Model ini kini tampil dengan lebih banyak ciri teknologi canggih dan kemas kini gaya untuk tahun 2025.
Selain keselesaan untuk perjalanan jarak jauh, skuter ini turut menjadi pilihan terbaik bagi mereka yang mencari kombinasi kuasa dan teknologi moden.
Enjin Berkuasa dan Transmisi Automatik
Dilengkapi dengan enjin 2 selinder selari 745cc yang turut dikongsi bersama model X-ADV, Forza 750 menghasilkan 57.8bhp dan tork setinggi 50.9lb.ft.
Tidak ketinggalan, Forza 750 juga didatangkan dengan transmisi DCT (Dual Clutch Transmission) separa automatik, menjadikan pengalaman menunggang lebih lancar dan mudah.
Teknologi Canggih dengan Cruise Control
Salah satu ciri menarik pada model terbaru ini adalah penambahan Cruise Control sebagai standard.
Ciri ini memudahkan perjalanan jarak jauh tanpa perlu sentiasa mengekalkan kawalan pendikit secara manual.
Sistem Ride-by-Wire yang dimuatkan turut menawarkan tiga mod tunggangan standard, serta satu mod ‘User’ yang boleh disesuaikan mengikut kehendak penunggang.
Tiga tahap Honda Selectable Torque Control (HSTC) juga disediakan untuk kawalan tork yang lebih tepat.
Fungsi ini memberikan penunggang keyakinan lebih tinggi dalam keadaan permukaan jalan yang berbeza.
Mod Tunggangan yang Lebih Selamat
Bagi tahun 2025, mod Rain telah dikemaskini untuk memberikan tahap kuasa enjin yang paling rendah.
Selain itu kawalan brek yang lembut dan campur tangan HSTC pada tahap tertinggi bagi memastikan keselamatan ketika menunggang di jalan yang licin.
Rangka Kukuh dan Suspensi Mantap
Dari segi binaan, Forza 750 menggunakan rangka besi tubular dengan lengan ayun aluminium.
Ia juga disokong oleh fork terbalik 41mm untuk kestabilan dan keselesaan maksimum.
Dari sudut estetika, model ini hadir dalam tiga warna baharu:
Mat Ballistic Black Metallic, Iridium Gray Metallic dengan pelindung bahagian bawah berwarna Graphite Black, dan Mat Warm Ash Metallic, menjadikan skuter ini tampak lebih moden dan berprestij.
Pencahayaan LED dan Paparan TFT
Honda juga menambah baik dari segi pencahayaan.
Model ini hadir dengan lampu depan LED berkembar yang dilengkapi lampu siang dan indikator terbina dalam.
Panel instrumen pula mendapat peningkatan dengan paparan TFT lima inci.
Panel ini dilengkapi dengan sambungan mudah alih yang membolehkan penunggang kekal berhubung ketika dalam perjalanan.
Ruang Simpanan Praktikal dan Port USB-C Baharu
Satu lagi ciri praktikal yang patut diberi perhatian ialah ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang cukup luas.
Ruang ini cukup untuk menyimpan helmet muka penuh, serta petak simpanan kecil di hadapan untuk menyimpan barangan harian.
Honda turut mengubah kedudukan port pengecasan USB-C, dari bawah tempat duduk ke bahagian hendal.
Pelancaran Forza 750 yang terkini ini hadir hanya seminggu selepas pelancaran NT1100 touring dan X-ADV adventure scooter yang juga menerima kemas kini yang signifikan.
Jika anda mencari skuter maxi yang menggabungkan teknologi canggih, prestasi mantap, dan reka bentuk elegan, Honda Forza 750 2025 adalah pilihan terbaik.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.