Tam Spider Tidak Akan Berdiam Diri Anak Dibuli! “Selalu Sangat Macam Ni, Tak Akan Dah Jadi Lagi Teruk Baru Nak Bertindak?”

Baru-baru ini, tular mengenai kisah anak kepada penyanyi kumpulan Spider, Tam (51) yang menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama.

Menurut Tam atau nama sebenar, Rustam Mustafah (51), beliau kecewa dengan pihak sekolah yang masih belum membuang enam pelajar pembuli terbabit walaupun sudah bersetuju untuk melakukannya ketika sesi perjumpaan dengan ibu bapa, Sabtu lalu.

Menerusi laporan Harian Metro, Tam berkata pihak sekolah membuat ‘u-turn’ apabila membenarkan pembuli itu masuk semula dan tinggal di dalam bilik warden asrama pada Ahad.

“Alasannya mereka akan menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Alasan ini macam tiada kena mengena. Mereka boleh saja belajar di rumah. Saya nampak ada pihak yang main wayang. Isu ini tiada kesudahan. Kalau begini cara sekolah, baik tutup saja.”

Sumber: Tam Spider

“Perkara ini selalu terjadi pada kita. Dah jadi baru nak bertindak. Hari itu mesyuarat, ada keluarga cakap takkanlah nak tunggu sampai anak kami jadi mayat baru nak bertindak?” ujarnya lagi.

Tambahnya, walaupun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan polis sudah bercakap mengenai masalah di sekolah itu, tetapi pihak sekolah masih tidak menemukan jalan penyelesaian. Selain itu, Tam juga difahamkan keluarga pembuli tidak tahu anak mereka ada masalah di sekolah.

Katanya, “mereka terkejut apabila anak-anak dikeluarkan dari asrama. Saya lihat pihak sekolah ada masalah dan cuba sembunyikan perkara sebenar sebelum ini. Malah, ada guru menasihatkan pelajar yang menjadi mangsa buli jangan memberitahu keluarga mengenai perkara itu.”

“Sebaliknya dia sendiri yang akan sampaikan aduan itu kepada pembuli. Jadi, pengadu (mangsa buli) akhirnya menjadi sasaran pembuli untuk balas dendam,” kata penyanyi lagu ‘Relaku Pujuk’ itu.

Sumber: Harian Metro

Tam turut menjelaskan, jika setakat mereka pecahkan gitar anaknya atau mencuri kasut, itu perkara kecil kerana tidak membabitkan sentuhan atau memukul tetapi jika sudah sampai tahap memukul mangsa sehingga mendatangkan kecederaan dan trauma atau lebih teruk jika kehilangan nyawa, adakah nyawa boleh dicari ganti soalnya.

“Anak saya dan Khir Rahman (pelakon) memang tak teruk kena sentuh berbanding anak orang lain. Memandangkan saya dan Khir selebriti, kami secara tak langsung mewakili mangsa yang lain kerana mereka kawan anak-anak kami. Walaupun saya mulanya keberatan nak ke depan tapi saya tak kisah apabila dipetik nama demi keselamatan anak-anak. Percayalah perkara ini serius,” katanya.

Tam percaya, enam pembuli ini pasti berdendam apabila perbuatan mereka dilaporkan kepada pelbagai pihak.

Susulan itu, Tam juga mengambil keputusan untuk tidak menghantar anaknya ke asrama buat masa ini sehingga ada perkembangan baru yang berlaku. Menurutnya lagi, beliau mengambil keputusan ini sehingga perjumpaan kedua ibu bapa dan pihak sekolah pada 14 Oktober ini.

Sumber: Harian Metro

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Comments

Leave a Reply