Ibu Mengandung Boleh Ke Makan Paracetamol, Ada Kesan Tak Pada Bayi Dalam Kandungan

Ramai ibu-ibu mengandung masih tertanya-tanya sama ada mereka boleh makan atau tidak paracetamol. Seperti yang kita ketahui, janin mudah terdedah pada semua ubat yang diambil oleh si ibu.

Menurut Malaysian Pharma, paracetamol adalah dalam kelas ubat yang dikenali sebagai analgesik (ubat penahan sakit yang) dan antipyretics (pengurang demam). Ia berfungsi dengan mengubah cara deria sakit badan dan menyejukkan badan.

Ibu Mengandung Boleh Ke Makan Paracetamol

Dr Maiza Tusimin daripada Prince Court Medical Centre berkongsi mengenai pengambilan ubat paracetamol ketika waktu hamil. Selamatkah diambil?

Paracetamol atau lebih dikenali sebagai Panadol atau Uphamol adalah antara ubat yang dikategorikan sebagai selamat untuk wanita hamil, jika diambil dalam dos yang terkawal.

Food Drug Administration (FDA) mengklasifikasikan paracetamol tergolong dalam ubat kategori kehamilan A iaitu ubat yang paling selamat untuk ibu hamil yang tidak memberikan kesan buruk kepada janin dan ibu hamil itu sendiri.

Indikasi penggunaan Paracetamol adalah sebagai analgesik (ubat penahan sakit) dan antipiretik (pengurang demam). Paracetamol digunakan untuk melegakan sakit yang disebabkan oleh: sakit kepala, sakit gigi, sakit disebabkan oleh artritis, sakit otot, osteoarthritis dan senggugut.

Paracetamol adalah selamat dan berkesan untuk menurunkan suhu badan yang tinggi akibat demam sekiranya diambil dalam kuantiti seperti yang disyorkan. Dos maksima yang disarankan adalah 4 gram sehari iaitu dengan pengambilan 500mg -1 gram setiap 6 jam sehari.

Walaupun Paracetamol selamat digunakan oleh ibu hamil untuk tujuan pengubatan kendiri, namun ibu harus segera mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya suhu badan mencecah 38 darjah celsius. Ini adalah kerana ibu hamil terdedah kepada risiko penyakit yang lebih teruk berbanding wanita yang tidak hamil.

Sekiranya sakit kepala berlanjutan setelah mengambil paracetamol, ibu juga harus segera berjumpa doktor kerana dikhuatiri sakita kepala disebabkan oleh penyakit lain yang lebih serius seperti preeklamsia.

Ada Kesan Tak Pada Bayi Dalam Kandungan

Kesan Sampingan
Paracetamol adalah ubat yang selamat jika diambil dalam dos yang disyorkan. Pastikan anda tidak mengambil lebih dari satu persediaan yang mengandungi paracetamol pada satu-satu masa. Periksa label ubat yang diambil bagi mengelakkan anda mengambil dos yang berlebihan.

Kebanyakan pesakit yang mengambil paracetamol tidak mengalami sebarang kesan sampingan. Walaubagaimanapun, pengambilan paracetamol secara berterusan atau pengambilan melebihi daripada dos yang disyorkan boleh menyebabkan kerosakan hati.

Ibu perlu segera berjumpa doktor sekiranya mengalami gejala kerosakan hati seperti loya dan muntah yang kerap, mata dan kulit kekuningan, air kencing berwarna gelap, sakit perut/abdomen dan kepenatan yang melampau. Rawatan awal adalah penting bagi mengelakkan kerosakan kekal pada hati.

Kejadian alahan juga jarang berlaku dengan pengambilan paracetamol. Antara gejala alahan adalah seperti seperti gatal, ruam, bengkak (muka/lidah/tekak), pening dan susah bernafas.

Kesan kepada bayi

Satu kajian kohort yang di laporkan di International Journal of Epidemiology ke atas 48,631 orang kanak-kanak yang mana ibu telah mengambil paracetamol secara berterusan selama 28 hari atau lebih, mendapati bahawa kanak-kanak ini mengalami sedikit masalah perkembangan dan perangai pada usia tiga tahun.

Kesimpulannya, walaupun paracetamol selamat dikonsum ketika hamil, tetapi perlu diambil pada dos yang ditetapkan dan hanya dikonsum apabila perlu dan pada jangkamasa yang tidak terlalu lama. Ibu disarankan untuk berjumpa doktor sekiranya demam atau sakit kepala berlarutan.

MASALAH YANG SERING DIALAMI KETIKA HAMIL

Berikut adalah masalah yang selalu dihadapi sepanjang kehamilan dan cara anda mengatasinya.

1. SAKIT KEPALA

Sakit kepala adalah antara simptom kehamilan yang paling selalu menyebabkan rasa tak selesa sepanjang kehamilan.

Menurut sumber melalui laman kesihatan sebuah akhbar tempatan, paracetamol adalah salah satu ubat yang selamat untuk digunakan. Namun, anda harus berhati-hati ketika mengambil Ibuprofen terlalu kerap kerana ia didakwa boleh menyebabkan kekurangan air ketuban, terutamanya pada trimester ketiga.

Ubat migrain juga perlu diambil hanya setelah mendapat pengesahan dan preskripsi khusus daripada doktor.

2. PEDIH ULU HATI / SAKIT PERUT

Masalah kembung atau pedih ulu hati biasa berlaku kerana salur penghadaman menajdi kurang efisyen pada awal kehamilan. Apabila bayi bertambah besar pula, ia menolak perut anda ke atas.

Sebenarnya, ubat yang paling sesuai untuk merawatnya adalah antasid. Menurut BabyCentre, ubat ini juga selamat untuk ibu hamil. Seeloknya, ambil antasid yang mengandungi alginate, magnesium dan aluminium. Elakkan ubat antasid yang berasaskan kalsium.

3. CIRIT-BIRIT

Sakit perut pula biasanya diikuti dengan cirit-birit. Sekiranya ia berlaku, jangan takut makan ubat ketika hamil kerana sekiranya berlarutan ia boleh menyebabkan anda ternyahhidrat.

Minum air yang cukup dan gunakan solusi rehidrasi oral yang tidak mengandungi loperamide.

4. LOYA (MORNING SICKNESS)

Keadaan ini amat sinonim dengan kehamilan. Ubat untuk loya atau muntah-muntah ketika hamil biasanya dikawal ketat kerana ada yang berpotensi membahayakan kandungan seperti dari sumber Thalidomide. Oleh itu, anda perlu berbincang perkara ini dengan doktor.

Anda disarankan mencuba kaedah semulajadi seperti makan sedikit tapi kerap, minum teh halia, menghidu bau ‘mint’ atau lemon, memakai gelang tangan acupressure (mabuk laut) yang boleh didapati di farmasi.

5. BATUK & DEMAM SELSEMA

Jika wanita hamil ingin menurunkan suhu tinggi melebihi 40 darjah Celcius, penggunaan Panadol adalah antara yang terbaik, seperti yang dinyatakan oleh Dr Zubaidi melalui blog beliau.

Namun, pastikan anda tidak mengambil melebihi 4 biji Panadol dalam masa 24 jam. Dr Zubaidi juga menasihatkan pengambilan Panadol ini dihadkan ketikan kandungan berusia kurang 18 bulan kerana pembentukan anatomi berlaku pada fasa ini.

Batuk pula boleh dilegakan dengan ubat titik hidung seperti oxymetazoline atau xylometazoline.

 

Paracetamol merupakan ubat yang tergolong di bawah kelompok analgesik (ubat penahan sakit) dan antipyretics (ubat penurun suhu badan). Berdasarkan kajian semasa, paracetamol di takrifkan selamat untuk penggunaan pada wanita hamil jika diambil dalam dos yang terkawal.

Kredit foto: Freepik

Bagaimanapun ibu hamil janganlah terlalu bergantung dengan paracetamol atau ubat-ubatan farmasi. Segera dapatkan nasihat doktor supaya mereka dapat mempreskripsikan ubat yang sesuai untuk diambil sepanjang kehamilan.

Pada masa sama, boleh cuba amalkan perawatan semula jadi seperti madu, kaedah pernafasan wap, atau air lemon dalam sukatan sederhana.

Artikel berkaitan: Ibu Hamil Yang Banyak Minum Kopi Berisiko Dapat Anak Pendek? Fakta Atau Mitos

Ibu Hamil Berhati-hatilah, Salah Posisi Tidur Boleh Sebabkan Bayi Mati Mengejut

Ibu Hamil Makin Mudah Nak Bersalin. Cuba Senaman Mudah Ni!


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply