“Bercerai Tak Semestinya Perlu Bermusuh & Bukanlah Penamat Segalanya” -Emma Maembong

Aktres jelita, Emma Maembong berharap orang ramai tidak mencetuskan spekulasi berkaitan perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar, demi kebaikan anak-anak mereka.

Menerusi hantaran di Instagram, pelakon drama Takdir Itu Milik Aku itu memaklumkan bahawa dia masih menjaga hubungan baik dengan Shazli, yang merupakan bapa kepada kedua putera kesayangan mereka.

“Kami berharap semua pihak tidak memanjangkan berita perceraian ini dan tidak mereka-reka cerita tidak benar memandangkan hubungan kami baik-baik sahaja.

BACA: Emma Maembong Rahsiakan Penceraian Hingga Tamat Tempoh Idah Untuk Tidak Keruhkan Keadaan

“Apatah lagi, kesihatan mental anak-anak adalah keutamaan kami sebagai ibu bapa. Bercerai tidak semestinya perlu bermusuh dan bukanlah penamat segalanya,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Emma juga meminta agar orang ramai tidak campur tangan dalam urusan keluarganya agar dia dan Shazli dapat fokus membesarkan dua orang putera mereka.

“Ajal, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Kita hanya mampu merancang tetapi Dia sebaik-baik perancang.

“Sekali lagi, kami berdua memohon diberikan ruang peribadi untuk kami membesarkan dua putera kami dengan sihat,” jelasnya.

BACA JUGA: Sering Terima Teguran Soal Pantang, Emma Maembong Akhirnya Bersuara

Menurut Emma, mereka pada awalnya tidak berniat untuk mengumumkan perceraian, tetapi terpaksa berterus terang untuk mengelakkan sebarang fitnah.

“Malangnya, jodoh kami buat masa ini sampai di sini sahaja. Jika diikutkan, kami tidak mahu mengumumkan mengenai perceraian ini kerana enggan memanjangkan isu.

“Namun, bagi mengelakkan sebarang fitnah, kami sama-sama bersetuju untuk memaklumkan perceraian ini,” ujarnya.

Berita mengenai perceraian Emma dan Shazli mula tersebar di media sosial semalam. Emma juga memaklumkan bahawa dia sudah tamat tempoh idah dan mengambil pendekatan untuk tidak menghebohkan berita perceraian bagi mengelakkan situasi menjadi keruh.

Sekadar info, Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Shariq Gabriel, 3, dan Shakil Aryan Shah, yang kini berusia setahun.

Ikuti TelegramInstagramTikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: IG Emma Maembong

Comments

Leave a Reply