Sejak kebelakangan ini, industri hiburan tanah air kecoh apabila beberapa pasangan artis yang mengambil keputusan untuk bercerai dan mengakhiri bahtera perkahwinan mereka meski jika dilihat pada mata kasar seperti bahagia dan tidak mempunyai sebarang pergolakkan.
Antara artis yang nekad untuk melabuhkan tirai bahtera rumah tangga mereka adalah Alif Aziz, Bella Astillah, Nora Danish, Irma Hasmie, Erynne Erynna, Emma Maembong dan yang terbaharu pasangan sensasi Fattah Amin dan Fazura yang menggamatkan dunia seni semalam (7 Oktober 2024)
Sehubungan itu, NONA terpanggil untuk mendapatkan sudut pandang rakan artis, bekas pengacara, model hijab yang juga usahawanita tudung berjaya, Ameera Zaini yang mengutarakan pendapatnya tentang isu penceraian antara artis yang boleh diibaratkan bak ‘Cendawan tumbuh selepas hujan’ ini.
Tak Berani Nak Komen Lebih Pasal Isu Penceraian Rakan Artis – Ameera Zaini
Ketika ditemui team NONA, pada majlis pelancaran butik Ameera Zaini terbaharu yang mengetengahkan konsep ‘Butik Cafe’ di Aeon Mall, Shah Alam di bawah jenama Ameera Zaini. Ini respon yang diberikan Ameera ketika mengulas berkaitan isu penceraian dan musibah perkahwinan yang melanda rakan artis.
Menurut Ameera, dia bukanlah orang yang layak untuk memberi pandangan berhubung isu ini, memandangkan bahtera perkahwinan yang dilayarinya kini masih hijau, apabila meniti tahun kesembilan bersama suami tercinta, Hasnoor Rozaini.
“Okay bercakap pasal masalah rumah tangga ni. Meera rasa setiap orang setiap pasangan setiap individu diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Jadi Meera tak berani nak komen lebih pasal tu,” Katanya.
Ameera Zaini Dedah Kunci ‘Kebahagiaan’ Dalam Perkahwinan
Bagaimanapun, ketika ditanya bagaimanakah dia mengemudi bahtera rumahtangga yang dimiliki agar kekal bertahan hingga ke hari ini, Meera mendedahkan hanya satu tips yang diamalkan dirinya bersama suami.
“Tapi apa yang Meera boleh katakan menurut sudut pandang Mira, apa yang membuatkan my marriage life still bertahan sampai sekarang.
“Walaupun Mira baru je berkahwin selama sembilan tahun, nak kata Meera dah lama berumah tangga pun tidak. Tapi nak kata terlalu baru pun tidak. Tapi apa yang Mira buat sepanjang melayari bahtera perkahwinan adalah sentiasa komunikasi.
“Communication is the key. Kalau you happy you communicate, kalau you tak happy you communicate as well. Kalau you rasa selesa you communicate, dan jika tak selesa you communicate.
“Komunikasi ni memang penting dalam perkahwinan, sentiasa berkomunikasi kalau ada apa-apa jangan pendam. Sebab ini memang tak bagus untuk kesihatan rumah tangga kita sebenarnya,” ujarnya.
Untuk rekod, Ameera Zaini menamatkan zaman bujang pada 20 September 2015. Hasil perkongsian hidup selama sembilan tahun itu, rumah tangga pasangan ini diserikan lagi dengan kehadiran dua orang putera, Mateen dan Daniel.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber Foto: Instagram Ameera Zaini
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.