Bukan sebarangan pelakon baharu boleh mendabik dada dengan pengiktirafan anugerah hiburan tempatan serta antarabangsa hanya dalam tempoh lima tahun pertama penglibatan.
Well, Nadhir Nasar bukanlah ‘sebarangan’.
Nadhir Nasar.
Dalam beberapa tahun usai menjuarai pencarian Hero Remaja 2020, Nadhir telahpun diiktiraf oleh Asian Academy Creative Award bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi drama bersiri Nusyuz Berkiblat Cinta.
Hasil lakonan mantapnya sebagai Erfhan; seorang suami yang mendera isterinya, Safiana (lakonan Shaza Bae) secara emosi, fizikal dan seksual; penonton mudah menjiwai perasaan benci terhadap watak lakonan Nadhir itu apabila melihat penderitaan seorang isteri diperlakukan sebegitu rupa.
Jelas Nadhir, bukan anugerah yang dikejar-kejar olehnya. Sebaliknya, apabila dapat menjayakan watak yang mencabar baginya, itu adalah kepuasan yang lebih tidak terhingga.
Kelebihan yang dimiliki oleh Nadhir Nasar sebagai selebriti yang diminati ramai peminat tanpa mengira usia sebenarnya berbalik kepada kredibiliti yang dibawakan olehnya dalam setiap naskah.
Nadhir berjaya mengekalkan minat orang ramai disebabkan keberaniaan untuk mencuba pelbagai jenis genre drama, filem dan telefilem dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh, di saat peminat masih mengingati impak ‘kebencian’ terhadap Erfhan (Nusyuz Berkiblat Cinta), Nadhir beralih arah dengan melakonkan watak Jamie bagi drama bersiri My Famous Ex-Boyfriend yang sesuai ditonton seisi keluarga yang menggemari genre komedi romantik pula.
Dan… siapa boleh lupakan penangan drama bersiri Projek: Anchor SPM yang memperkenalkan Nadhir kepada sebilangan besar peminat remajanya. Drama yang mencedok kisah kehidupan pelajar sekolah menengah ini membuatkan ramai jatuh cinta terhadapnya serta karakter Hilmi.
Selang beberapa tahun, sekali lagi Nadhir tidak gentar untuk mempelbagaikan jenis watak. Kali ini, dia menjayakan pula karakter seorang guru menerusi drama bersiri Kelas Tahanan Cikgu Hiiragi; sebuah adaptasi daripada drama Jepun yang cukup popular dewasa ini.
Daripada pelajar sekolah ke cikgu psiko dan kemudian menjadi suami kaki dera sebelum seterusnya menjadi duda yang digelar ‘Suami Dari Neraka’. Luas sungguh perjalanan karier Nadhir dalam tempoh empat hingga lima tahun pertamanya ini!
Cikgu Dalam Industri Lakonan
Rata-rata peminat Nadhir Nasar sudahpun mengetahui mengenai fascination beliau terhadap pelakon berkaliber, Beto Kusyairy.
Menganggap Beto sebagai idola serta ‘cikgu’ dalam aliran lakonan, perasaan itu bangkit menerusi nilai-nilai autentik yang dibawakan Beto menerusi lakonannya selama ini tanpa mengira watak apa jua yang dimainkan olehnya – sesuatu yang cuba dilakonan oleh Nadhir sendiri.
Selepas melakonkan telefilem sulungnya bersama Beto Kusyairy, Nadhir sekali lagi berpeluang berada dalam satu set bersama Beto. Kali ini, ia menerusi drama Astro Ceria berjudul Super Wira yang bergenre ‘lebih ringan’ tetapi masih sarat dengan mesej berguna; bersesuaian dengan penonton kanak-kanak.
Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, Super Wira merupakan siri adiwira berunsur tradisional Melayu pertama seakannya dihasilkan di Malaysia. Berbeza dengan hiburan adiwira Barat yang sering kita tonton, Super Wira mengangkat seni pertahanan diri tradisional seperti silat sebagai sebahagian daripada gaya pertarungan dalam babak yang dipertontonkan.
Sekaligus, ia sedikit sebanyak mengubah landskap produksi perfileman Malaysia yang tidak mengulang pakai plot sama.
Hormati Generasi Sebelumnya
Bercakap mengenai sutradara yang digemari lagi dihormati oleh Nadhir, jejaka berusia 28 tahun ini sememangnya tidak pernah puas untuk mengkaji naskah-naskah tempatan yang memberi impak kepadanya.
Bukan sahaja gemar mengulang kaji lakonan anak-anak seni handalan yang terlebih dahulu makan garam sebelumnya seperti Beto Kusyairy, Que Haidar dan Jalil Hamid. Nadhir juga cuba mendalami genre drama serta filem yang mencabar minda serta emosi.
Antaranya seperti drama bersiri Scammer 1 dan Scammer 2 arahan Norhanisham Muhammaf. Dibintangi oleh Kamal Adli, Siti Saleha dan Fasha Sandha, drama tersebut mengisahkan kegiatan money laundering dalam kalangan kolar putih akibat desakan kehidupan.
Kongsi Nadhir, dia turut meminati drama bergenre seram thriller, Sembilan arahan Razaisyam Rashid yang dijayakan hasil kolaborasi pelakon dari Malaysia serta Indonesia. Selain itu, dia tidak mengenepikan karya-karya yang lebih santai pada permukaan tetapi padat dengan penyampaian moral seperti Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah – kesemuanya merupakan arahan Allahyarham Mamat Khalid.
Karya-karya deep sebegini menjadi kegemaran Nadhir. Tidak kiralah sama ada karya baharu mahupun lama, setiap daripadanya mempunyai nilai sentimental yang membuatkannya ia berbekas di hati.
Kata orang, jika anda ingin menjadi yang terbaik, belajarlah daripada gerak geri mereka yang terbaik.
Oleh itu, Nadhir tidak kekok untuk mengakui karya-karya yang boleh ditonton semula menerusi Astro Go ini telah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya sebagai seorang pelakon disamping menghiburkan jiwa seninya di waktu senggang.
Korang pun boleh menonton semula drama atau program televisyen yang dilakonkan oleh Nadhir atau yang disukai olehnya tadi!
Jom usha kesemua naskah menarik itu secara On Demand dan strim di Astro Go serta sooka; pada bila-bila masa dan di mana sahaja korang berada.
Saksikan temu bual penuh bersama Nadhir Nasar ini di saluran YouTube Astro Malaysia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.