Pemimpin pembangkang persoal pilih helikopter AW149 ganti Nuri

Helikopter AW149 dipilih ATM bagi menggantikan Nuri.

SHAH ALAM – Seorang ahli Parlimen pembangkang mempersoal pemilihan helikopter Leonardo AW149 oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi menggantikan helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri.

Ahli Parlimen Tanah Merah yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz mendakwa, pesawat jenis AW149 itu lebih bersifat untuk kegunaan awam di pelantar minyak berbanding kegunaan tempur.

Ikhmal Hisham

Sebaliknya kata bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu, helikopter H225M (EC725 Caracal) mempunyai keupayaan yang lebih baik dan perlu dijadikan sebagai pilihan sekiranya usaha untuk mendapatkan helikopter Black Hawk sukar.

“Helikopter udara yang digunakan Angkatan Tentera (ATM) adalah lebih kompleks daripada penggunaan pesawat helikopter udara oleh orang awam kerana ia melibatkan kesiapsiagaan tempur dan juga keperluan pelbagai guna lain.

“Sebagai contoh underslung-lift, pelaksanaan operasi di dalam dan luar negeri serta operasi penerbangan pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca buruk bagi menjaga kedaulatan ruang udara di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ikhmal Hisham yang juga Ketua Portfolio Pertahanan Perikatan Nasional (PN) berkata, pesawat AW149 akan nampak cantik sewaktu sambutan perarakan kemerdekaan di Putrajaya, tetapi beliau yakin pesawat Black Hawk atau EC725 lebih dihargai oleh warga ATM dalam memenuhi ekspektasi operasi harian mereka menjaga kedaulatan negara.

“Apakah ATM kini sudah menjadi mangsa percaturan ‘pelobi’ kontrak aset pertahanan? Apakah tragedi kecurangan wang awam melibatkan perolehan aset tentera yang tidak diperlukan oleh ‘end-user’ atau masih dalam bentuk prototaip akan berulang kembali sebagaimana perolehan kapal tempur pesisir (LCS),” dakwanya.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman pada Sabtu lalu dilapor berkata, pesawat jenis Leonardo AW 149 dipilih dalam rancangan perolehan helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi penggantian helikopter Nuri.

Sementara itu, Ikhmal Hisham mempersoal keputusan Kerajaan Madani yang didakwa secara tiba-tiba memutuskan untuk menganugerahkan kontrak perolehan kepada sebuah syarikat bagi menjadi orang tengah dalam perolehan pesawat Black Hawk.

Sedangkan katanya, Mindef boleh mendapatkan pesawat berkenaan melalui Kerajaan dengan Kerajaan (G2G).

“Saya akan membangkitkan perkara ini dalam sidang Dewan Rakyat akan datang. Saya hanya mampu berharap agar Mindef dapat menjawab dengan jujur berkenaan perkara ini,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply