Comelnya Muhammad Jibril! Puas menyembunyikan wajah dan kelahiran zuriat baharu daripada pengetahuan umum, akhirnya Fatin Afeefa dan suami terbuka mendedahkan buah hati kesayangan mereka kepada khalayak baru-baru ini.
Enggan lagi berahsia, pasangan suami isteri berkenaan membuat pendedahan tersebut sempena Majlis Akikah Muhammad Jibril yang berlangsung pada 6 Oktober lalu.
Sebelum majlis meraikan kehadiran Muhammad Jibril, suami Fatin Afeefa iaitu Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai terlebih dahulu berkongsi status dirinya yang sudah pun bergelar bapa.
Kenyataan itu dibuat Opai dalam satu sedutan video yang dimuat naik di media sosial.
View this post on Instagram
Memetik kenyataan Opai, sudah tiba masa dia berkongsi tentang kelahiran anak sulungnya kepada umum selepas dimarahi ibu dan isteri. Apatah lagi, bayi comel yang diberi nama Muhammad Jibril mencecah usia tujuh bulan.
Dalam majlis akikah itu, pelakon cantik berusia 30 tahun berkenaan anggun dalam persalinan dres biru muda. Sedondon dengan suami tercinta dan anak tersayang. Majlis bertemakan rona putih dan biru lembut ini turut dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.
Penampilan Fatin Afeefa atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin dalam majlis itu meraih tumpuan. Bukan hanya tampil lebih berseri-seri, kelembutan dan kematangan ibu ini juga jelas terserlah.
Fatin Afeefa sah bergelar isteri kepada usahawan Aliff Awang pada Disember 2022.
Pelakon filem Tentang Bulan tersebut turut dikurniakan dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia.
Fatin pernah membintangi filem dan drama popular antaranya Maksimum, Kampung Drift, Red Velvet, Janji-Janji Annisa, Volkswagen Kuning dan Monalisa.
Selain berbakat dalam seni lakonan, bakat nyanyian Afeefa juga mula disedari ramai selepas dia menyertai sebuah program nyanyian.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.