Nie Ching sah terajui DAP Johor

Nie Ching (kanan) sah menerajui DAP Johor menggantikan Chin Tong (tengah).

JOHOR BAHRU – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menepati ramalan apabila dipilih sebagai Pengerusi DAP Johor menggantikan Liew Chin Tong yang menyandang jawatan tersebut sejak sedekad lalu.

Nie Ching yang merupakan Ahli Parlimen Kulai turut mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dipilih sebagai Pengerusi DAP Johor.

Dalam pemilihan parti yang berlangsung pada Ahad itu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi diangkat sebagai Timbalan Pengerusi DAP Johor.

Selain Nie Ching dan Shu Qi, seorang lagi pemimpin wanita DAP, Gan Peck Cheng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram dan bekas Timbalan Speaker DUN Johor pula dipilih sebagai Naib Pengerusi DAP Johor, bersama ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, pemilihannya sebagai Pengerusi DAP Johor adalah penghormatan dan tanggungjawab yang besar.

Beliau turut berterima kasih dengan Chin Tong yang telah mengabdikan satu dekad kariernya untuk mengukuhkan dan memimpin DAP Johor.

“Sebagai Ketua Wanita DAP, saya juga berbangga untuk menyatakan bahawa daripada 20 anggota Jawatankuasa DAP Johor, seramai sembilan daripadanya adalah wanita, mewakili 45 peratus daripada jawatankuasa negeri.

“Ini adalah representasi wanita yang tertinggi antara semua Jawatankuasa Negeri DAP di seluruh negara.

“Wanita bukan sekadar wakil simbolik tetapi perlu diberi tanggungjawab penting untuk memimpin. Ini adalah bukti jelas pemerkasaan gender dan menjadi bukti komitmen DAP Johor terhadap kesetaraan gender dan pemerkasaan wanita dalam kepimpinan.

“Kami akan terus memperjuangkan nilai-nilai ini dan berusaha untuk representasi dan inklusiviti yang lebih besar di masa hadapan,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply