“APA yang sedikit tapi mencukupi lebih baik daripada banyak tetapi melalaikan.”
Ungkapan ini adalah sebuah perumpamaan yang sungguh indah dipetik dari sebahagian hadis Nabi Muhammad SAW.
Ia direkodkan oleh Imam Ahmad yang diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan terbit matahari kecuali diutuskan padanya dua malaikat yang menyeru sekalian yang berada di bumi: ‘Wahai manusia, datanglah (kembalilah) kepada Tuhan kamu! (Sesungguhnya) apa yang sedikit tapi mencukupi lebih baik daripada banyak tetapi melalaikan.”
Mainan dunia yang tiada akhirnya
Jika kita mengambil sedikit masa dan memerhatikan realiti di sekeliling, kita akan dapati bahawa ramai yang menjadikan pencarian laba keduniaan satu-satunya objektif kehidupannya dan sumber terbesar yang mesti diperolehi sebanyaknya.
Mereka sibuk mengejar keduniaan, membina kekayaan, mengumpulkan kemasyhuran sehingga mereka lupa realiti kehidupan mereka di dunia ini.
Mereka sanggup menangguhkan amal soleh dan janji pahala yang besar kerana mengejar keduniaan yang tidak akan pernah habis dan tidak akan pernah cukup.
Realitinya, harapan dan keinginan duniawi tidak akan berakhir. Setelah mencapai satu harapan atau keinginan yang dikejar, ia akan digantikan dengan harapan atau keinginan yang lain.
Ini adalah mainan dunia yang disebutkan ALLAH SWT dalam ayat ke-20 surah al-Hadid:
“Ketahuilah bahawa (apa yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak.
“(Semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu kamu melihatnya berupa kuning, akhirnya ia menjadi hancur bersepai.
“Dan (hendaklah diketahui lagi bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan buat golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari ALLAH (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Kejar reda ALLAH erti zuhud sebenar
Dunia itu hanyalah permainan dan hiburan yang melalaikan kita daripada objektif utama iaitu mengejar keredaan ALLAH SWT.
Tuntutan inilah juga yang menjadikan kita seorang hamba yang baik dan mengenal erti sebenar penciptaannya di dunia serta mampu mengimbangi urusan duniawi dan ukhrawinya.
Inilah makna sebenar zuhud iaitu dia tidak mengikat dirinya dengan kemanisan serta keindahan dunia.
Pada masa yang sama dia tidak mendahulu-kan dunia daripada akhiratnya dan dia tidak meninggalkan apa yang boleh mendekatkan diri kepada Tuhannya kerana mengejar dunia dan segala keindahannya.
Nabi Muhammad SAW bersabda di dalam sebuah hadis: “Berilah perhatian terhadap perkara yang memberi manfaat kepadamu, mintalah pertolongan dari ALLAH dan jangan kamu berputus asa.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apabila Nabi SAW ditanya berkenaan amalan yang terbaik yang boleh dilakukan oleh seseorang, Baginda lantas menjawab:
“(Amalan yang terbaik) adalah amalan yang dilakukan oleh seseorang dengan tangannya (usahanya) dan setiap jual beli yang diterima.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Kedua-dua hadis ini memberi isyarat yang jelas, dalam usaha seseorang mengejar dunia, usaha tersebut mestilah disertakan dengan harapan ukhrawi yang jelas iaitu mendapatkan reda ALLAH serta menggapai pahala yang berpanjangan hasil daripada usahanya itu.
Itulah erti zuhud yang sebenar yang mesti dipaterikan di dalam jiwa kita.
Tuntasnya, Nabi SAW telah meninggalkan sebuah pesanan yang indah, disulami dengan janji yang sangat manis kepada seorang pemuda yang telah datang kepada Baginda meminta ditunjukkan suatu amalan yang akan dicintai oleh ALLAH dan sekalian manusia.
Lantas Nabi Muhammad SAW menjawab: “Zuhudlah kamu di dunia, maka kamu akan dicintai oleh ALLAH. Dan zuhudlah kamu di hadapan manusia, nescaya mereka akan mencintai kamu.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
***USTAZ MOHAMMAD BAIHAQI MD YUSNAN merupakan Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.