HAK kanak-kanak sama seperti orang dewasa yang tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja.
Ini kerana semua manusia adalah sebaik-baik ciptaan ALLAH SWT dan DIA begitu memuliakan anak-anak Adam termasuk budak kecil sebagaimana disebutkan pada ayat keempat surah at-Tin dan ayat ke-70 surah al-Israk.
Imam dan Pensyarah al-Quran, Pusat Islam dan Kebudayaan, Management and Science University (MSU), Ustaz Muhammad Nasrullah Hamdan menjelaskan, sebagai hamba ALLAH yang sempurna penciptaannya, kanak-kanak juga mempunyai hak privasi, tidak dimalukan di khalayak mahupun didera secara fizikal, mental dan emosi.
“Adakala mereka perlu bersendirian, dididik dengan bercakap menggunakan cara lebih halus, tidak boleh dimarahi di tempat awam, diherdik dan sebagainya.
“Boleh marah (apabila mereka berbuat salah), tetapi dengan laras bahasa dan nada yang baik serta berniat untuk mendidik, bukannya menghukum.
“Cuma apa yang membezakan kita dengan kanak-kanak ialah mereka perlu diberi perhatian yang lebih kerana baru hendak mengenal dunia dan tidak tahu bagaimana kehidupan di luar. Sebagai penjaga yang bertanggungjawab, kita perlu menjadi ‘pemandu’ yang baik kepada mereka,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor.
Bukan itu sahaja, Ustaz Muhammad Nasrullah turut mengingatkan agar kita tidak berbohong apalagi menipu anak kecil sekalipun mereka belum mengerti apa-apa. Secara asasnya, berdosa kita berbuat demikian.
“Hukum asal pembohongan adalah haram walaupun dengan anak, tetapi dalam beberapa situasi contohnya jika kanak-kanak mahukan sesuatu di luar batasan kemampuan kita, sebaiknya berterus teranglah.
“Mungkin gaji kita belum cukup dan mahu tangguhkan dulu. Paling penting sebenarnya ukur baju di badan sendiri dan elakkanlah menipu.
“Jika kita biasa berbohong, dibimbangi apabila anak itu dewasa, dia pula mudah berdusta dengan orang lain. Jadi elakkanlah perkara itu berlaku dengan menjanjikan sesuatu yang kita mampu kepada mereka,” titipnya.
Beri perlindungan
Dalam pada itu, Ustaz Muhammad Nasrullah turut menegur sikap sebilangan ibu bapa atau penjaga yang tidak mengambil pusing apabila seorang kanak-kanak berbicara.
Begitu juga dengan sikap orang tua yang begitu takut untuk melepaskan anak-anak keluar kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.
Namun begitu, menurut perspektifnya, cara itu juga boleh ‘mengancam’ kanak-kanak kerana fitrah mereka sememangnya suka meneroka.
“Tidak salah untuk kita bimbang, tetapi berilah juga kebebasan kepada mereka untuk keluar dan pada masa sama, tetap pantau anak-anak dan bimbing mereka.
“Ini kerana dikhuatiri jika mereka tiba-tiba sahaja keluar meneroka dunia luar, anak tadi akan mengalami ‘kejutan budaya’ dengan budaya luar dan mudah terpedaya dengan anasir-anasir tidak sepatutnya,” ungkapnya.
Sebagai ibu bapa, ujar Ustaz Muhammad Nasrullah, menjadi tanggungjawab kita mendidik anak-anak dengan pendidikan agama, kemahiran hidup, asas kehidupan, memenuhi hak pendidikan, makan dan minum; penjagaan, kesihatan serta selainnya.
Malah katanya, mereka juga bertanggungjawab memberikan perlindungan dan kesedaran kepada anak-anak supaya memastikan hak si cilik itu tidak dicabuli.
“Selalu berpesanlah kepada anak-anak supaya segera melaporkan kepada ibu bapa atau guru sekiranya bahagian sensitif seperti alat sulit mereka disentuh sesiapa. Beritahu tentang sentuhan selamat dan tidak selamat.
“Jika kanak-kanak mengadu, jangan abaikan dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Teladani cara Rasulullah layan kanak-kanak
Menyambung hujah, Ustaz Muhammad Nasrullah kemudian mengajak kita untuk mencontohi sifat Rasulullah SAW dalam melayani kanak-kanak.
Sekalipun masih ‘mentah’, jelas beliau, Baginda SAW melayan mereka sama seperti orang dewasa yang dianggap sebagai ‘orang penting’.
Tatkala berjumpa dengan kanak-kanak, katanya, Baginda akan mengusap kepalanya, mendoakannya, memanggil dengan nama disukai dan memberikan hadiah. Rasulullah SAW juga tidak suka kanak-kanak dimarahi.
“Pernah satu hari Rasulullah mencium cucunya, Hasan bin Ali RA. Perbuatan itu dilihat oleh seorang sahabat, Aqra’ bin Habis RA yang mana beliau mengakui tidak pernah mencium anak-anaknya sepanjang hidupnya.
“Apabila Rasulullah melayan kanak-kanak sebegitu rupa, ia menunjukkan bahawa ia adalah perkara yang baik untuk dilakukan dalam menyantuni anak-anak supaya mereka rasa disayangi dan dihargai. Dalam satu riwayat masyhur, Baginda bersabda ‘Siapa yang tidak menyayangi pasti tidak akan disayangi’.
“Apatah lagi bila perkara itu dilakukan kepada anak-anaknya, semua cahaya matanya menjadi baik,” terangnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.