SHAH ALAM – Pas tidak melatah atau tersungkur oleh pihak yang cuba memesongkan perjalanannya.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia susulan telah ditetapkan dalam Perlembagaan Pas bahawa rujukan tertinggi ialah kitab ALLAH iaitu al-Quran, Sunnah, ijmak dan qias yang nyata.
Menurutnya, Majlis Syura Ulamak pula dilantik bagi memelihara segala perjalanan dan tindakannya termasuk memilih cara damai yang wujud dalam sistem demokrasi terkawal dengan konsep Islam tertinggi.
“Dalam usaha mengembalikan semula umat kepada kefahaman Islam mengikut landasan dibawa Rasulullah SAW, setelah ketinggalan zaman disebabkan penjajahan dan kelekaan, maka muncul dua gejala atau dua keadaan yang menjadi gangguan serta merosakkan perjalanan umat untuk kembali semula kepada Islam.
“Pertama, pendekatan liberal kerana terpengaruh oleh kemajuan kebendaan Barat yang berfahaman liberal sekularisme. Kedua, pendekatan ekstrem melampau kerana sayang akan agama, namun tanpa membina kefahaman dengan ilmunya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Ujar Abdul Hadi, wasat atau wasatiyyah dalam bahasa al-Quran bererti pertengahan, kesederhanaan, adil, dan saksama di samping menjadi teladan yang dapat dilihat dengan mudah.
Jelasnya, umat Islam ditugaskan menjadi model atau contoh teladan yang dapat dilihat di tengah-tengah masyarakat manusia dalam pelaksanaan petunjuk ALLAH kepada makhluk tidak sama dengan malaikat bersifat rohani bersih rohnya tanpa nafsu kebinatangan.
“Demikian juga, tidak sama dengan binatang yang tidak berakal dan bernafsu serta berlainan dengan jamadat (makhluk yang tidak mampu bergerak) seperti batu-batan, kayu-kayan, gunung-ganang dan bukit bukau.
“Makhluk manusia dicipta mengikut fitrah, berjasad, mempunyai nafsu, akal, nyawa, roh, hidup bersendiri, berkeluarga dan bermasyarakat,” katanya.
Tambah beliau, manusia turut dipandu dengan petunjuk wahyu kitab ALLAH bersama rasul yang dilantik di samping dikurniakan akal dan pengalaman dalam perjalanan hidup agar nafsu dapat dikawal serta tidak seperti binatang.
Dalam pada itu, ujarnya lagi, maka kejadian manusia bercirikan tersebut membezakan dengan makhluk yang lain menjadikan mereka ditugaskan di alam dunia supaya beribadat kepada ALLAH dengan aqidah yang betul, serta bertugas memakmurkan dunia dengan syariat yang adil kepada seluruh alam yang menjadi amanah besar kepada mereka.
“Maka, ALLAH menetapkan panduan menjadi makhluk pilihan yang bersifat wasatiyyah, tidak seperti malaikat yang tiada nafsu dan tidak perlu dikawal daripada melakukan kejahatan, tidak seperti binatang yang tidak berakal sehingga tidak boleh mengawal nafsunya, serta tidak seperti batu, kayu dan bukit tidak bergerak.
“ALLAH SWT memberikan amaran kepada manusia yang mencipta teori, agama atau ideologi di luar daripada kemampuan kejadian dan fitrah,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, ALLAH telah menetapkan hala tuju betul dalam perjalanan hidup manusia agar jangan memilih peta jalan lain sama ada menyimpang ke kanan ataupun kiri.
Ujarnya, sama ada bersifat liberal yang lebih daripada binatang mahupun ekstrem yang lebih daripada malaikat ataupun diperalatkan seperti kayu dan batu.
“Munculnya agama yang mencipta ajaran manusia menjadi malaikat kepada pendeta, paderi dan sami sehingga tidak berkahwin atau memakan makanan yang lazat dan berzat.
“Ada teori yang menjadikan manusia bebas seperti binatang. Ada juga yang menjadikan manusia laksana kilang atau alat yang boleh dipergunakan sewenang-wenangnya,” katanya.
Sementara itu, jelas beliau, Islam adalah bersifat wasatiyyah dalam semua perkara termasuk jasad, akal, roh, individu dan bermasyarakat serta mentadbir makhluk sekeliling manusia.
Ujar beliau, kemusnahan berlaku apabila manusia melakukan kerosakan ekstrem atau liberal.
“Disebabkan itu, para ulama’ islah dan tajdid menubuhkan jemaah yang diperintahkan oleh ALLAH pada setiap zaman dan di setiap tempat,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.