Azab pedih hina Nabi Muhammad SAW

SESIAPA yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW boleh ditangkap dan didakwa dan dijatuhi hukuman di mahkamah jika disabitkan kesalahan. Foto PEXELS

ANTARA perkara yang membangkitkan kemarahan umat Islam hari ini adalah sikap segelintir pihak dalam masyarakat kita yang tidak peduli dengan kesucian agama Islam dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW.

Sebelum ini, pernah terjadi Islam dipersenda dengan lawak jenaka dan komedi. Kini muncul pula penganut Islam sendiri yang sanggup menghina junjungan mulia Baginda SAW.

Pernah suatu ketika, dunia digemparkan dengan sikap Charlie Hebdo di Perancis yang bersikap kurang ajar apabila melukis kartun menghina Nabi Muhammad SAW sehingga berlaku kejadian tembak.

Menjadikan agama sebagai komedi, memperolok-olok ajaran Islam, merendahkan al-Quran, menganggap remeh dengan hukum-hakam, menghina Islam dengan pelbagai kalimah penghinaan dan mencaci agama ini, ia jelas termasuk dalam perbuatan jenayah penghinaan terhadap Islam.

PERBUATAN menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam menyebabkan kemarahan masyarakat Islam di negara ini.

Termasuk juga dalam kategori ini ialah perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW.

Ucapan seperti menyamakan Baginda dengan perumpamaan atau kata-kata yang jelek dan negatif adalah satu penghinaan. Perbuatan jenayah ini juga menyakiti umat Islam di seluruh dunia secara amnya.

ALLAH SWT memberi peringatan kepada manusia mengenai larangan menghina-NYA dalam ayat ke-12 surah at-Taubah:

“Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu. (Kerana) sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya supaya mereka berhenti (daripada kekufuran dan bertaubat).”

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa perbuatan menghina agama itu amat dilarang sama sekali.

Bahkan akibat menghina agama itu orang tersebut diancam oleh ALLAH SWT untuk diperangi seperti firman-Nya dalam ayat ke-61 surah at-Taubah.

“Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah akan mendapat azab yang pedih.”

Persoalannya, apakah masih ada manusia yang tidak takut akan azab ALLAH SWT yang perih ini?

Larang hina Islam, agama lain

Islam bukan sahaja melarang umatnya menghina agama sendiri, bahkan menghina agama lain juga amatlah dilarang. Firman ALLAH:

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari ALLAH kerana mereka kelak akan mencerca ALLAH secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah al-An’am: 108)

Perbuatan menjadikan agama Islam, ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW sebagai bahan jenaka, komedi dan bahan olok-olok merupakan larangan dan perlu dipandang serius oleh semua umat Islam.

Bahkan perbuatan mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran dan membuatkan seolah-olah ia bukan kalam ILAHI juga merupakan satu jenayah syariah. ALLAH berfirman:

“Dan jika kamu bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab, ‘Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main’. Katakanlah: ‘Patutkah nama ALLAH dan ayat-ayat serta rasul-NYA kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Surah at-Taubat: 65)

Ayat ini jelas menunjukkan larangan mempersenda agama yang mulia ini.

Perbuatan berkomedi dengan hukum-hakam Islam, ayat-ayat al-Quran, serta meremehkan perintah ALLAH SWT adalah benar-benar menghina agama.

KERATAN berita yang disiarkan Sinar Harian membabitkan siasatan polis terhadap penghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Bahkan seorang ulama besar pada kurun keenam Hijrah, Imam Al-Qadi Iyyadh menukilkan melalui kitab Asy-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa:

“Apa-apa bentuk ucapan atau perbuatan yang terdapat cacian, merendahkan atau mengaibkan kesucian diri Nabi Muhammad SAW atau nasab, agama, sifat atau apa-apa yang berkaitan dengannya, maka perbuatan itu boleh menyebabkan gugur iman pelakunya.”

Maka berhati-hatilah dengan kata-kata dan perbuatan kita wahai umat Islam.

Boleh dihukum di mahkamah syariah

Justeru, perbuatan penghinaan ini adalah termasuk dalam jenayah menurut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 melalui Seksyen 10 iaitu tentang menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.

Ia menyatakan sebagai berikut: “Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:

1 – Menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

2 – Mempersenda, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam.

3 – Mempersenda atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam.

Ketiga-tiga atau salah satu daripadanya merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 9 pula menyatakan: “Mana-mana orang yang dengan kata-katanya atau perbuatannya, mempersenda, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat aI-Quran atau Hadis adalah melakukan suatu kesalahan.

UMAT Islam perlulah menunjukkan akhlak dan budi pekerti yang baik apabila bersama dengan non-Muslim dan tidak menghina agama mereka. Foto PEXELS

“Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Oleh itu, perlulah kita berhati-hati dengan segala ucapan atau kalam kita agar tidak mengeluarkan apa-apa gurauan yang tidak menjaga sensitiviti agama.

Berdasarkan hukum syarak dan perundangan di Selangor, ingin ditegaskan agar kita senantiasa menghormati hukum syarak, keputusan fatwa dan undang-undang yang diwartakan di negeri ini.

***Artikel disediakan Majlis Agama Islam Selangor


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply