Hijabi berusia 30 tahun yang kini mencetuskan inspirasi, Nora AlMatrooshi menjadi wanita Arab pertama dipilih sebagai angkasawan wanita yang lulus program latihan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).
Jurutera mekanikal yang pernah bekerja dalam industri minyak ini merupakan salah seorang daripada dua calon angkasawan yang dipilih Agensi Angkasa Emiriah Arab Bersatu (UAESA) pada 2021 untuk mendaftar dalam program latihan dengan NASA.
Menurut Nora yang bersedia untuk dihantar ke angkasa, penyelidik NASA membangunkan produk bagi membolehkannya menutup rambut ketika memakai sut angkasa dan topi keledar agensi itu yang dikenali secara rasmi sebagai Unit Mobiliti Ekstravehikular (EMU).
Katanya, cabaran yang dihadapi adalah untuk menanggalkan tudungnya sebelum memakai topi komunikasi berkenaan.
Tambahan pula, bahan atau jenis kain tertentu yang dibenarkan secara khusus boleh dipakai di dalam EMU.
“Pereka sut akhirnya menjahit tudung sementara untuk saya dan boleh memakainya sebelum menggunakan topi komunikasi. Walaupun ketika itu topi sudah ditanggalkan tetapi rambut saya tetap terlindung. Saya sangat hargai usaha mereka itu,” kata Nora.
“Untuk menjadi seorang angkasawan memang sukar, tidak kira apa agama atau latar belakang.
“Saya tidak fikir hanya kerana bergelar seorang Muslim akan menjadikan tugas ini lebih sukar. Sebaliknya, ia menyedarkan saya tentang sumbangan insan-insan terdahulu termasuk ulama dan saintis Islam.
“Peranan saya hanyalah meneruskan tugas dan misi yang sudah mereka mulakan sejak beribu-ribu tahun lalu,” tutur Nora.
Nora bersama 10 lagi individu yang dipilih kini rasmi menjadi angkasawan yang memenuhi syarat.
Mereka yang dikenali sebagai The Flies kini memenuhi syarat untuk misi NASA ke Stesen Luar Angkasa Antarabangsa (ISS).
Kumpulan ini bakal meluncurkan Artemis ke bulan. Jika segalanya berjalan lancar ia berkemungkinan bakal terbang ke Marikh.
9 Fakta Menarik Nora Almatrooshi
1. Dilahirkan pada 1993 dan berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
2. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, United Arab Emirates University dan menjalani latihan di Vaasa University of Applied Sciences di Finland.
3. Sebelum bergelar angkasawan wanita Arab pertama, Nora merupakan jurutera di The National Petroleum Construction Company.
4. Ahli Persatuan Jurutera Mekanikal Amerika.
5. Keluarga sebelah ibunya berasal daripada keturunan pelayar.
6. Diumumkan sebagai angkasawan wanita pertama UAE pada April 2021 dan terpilih untuk menjalani latihan dengan Kumpulan Angkasawan NASA 23 bersama rakan sekerja Mohammad AlMulla. Mereka mengikut jejak langkah dua angkawasan terdahulu UAE, Sultan Al Neyadi dan Hazzaa Al Mansoori.
7. Pernah gagal menyertai Program Angkasa Negara UAE pada 2018. Permohonannya berjaya ketika percubaan kali kedua.
8. Memenangi tempat pertama Olimpik Matematik Antarabangsa 2011 UAE.
9. Mewakili negaranya ke Persidangan Belia Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2018 dan 2019.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.