Johan Ghazali, atau lebih dikenali sebagai Jojo, baru-baru ini meluahkan rasa bangganya apabila dijemput oleh legenda MMA, Khabib Nurmagomedov, untuk berlatih bersama di Dagestan, Russia.
Khabib, yang baru-baru ini melawat Kuala Lumpur, sempat bertemu dengan Jojo dan menjemputnya untuk menyertai kem latihan yang terkenal dengan latihan disiplin ketat serta persiapan mental dan fizikal yang tinggi.
Jojo, seorang pejuang Muay Thai yang semakin dikenali di arena seni bela diri tempatan dan antarabangsa, menyatakan rasa syukur atas peluang ini. “Saya bersyukur dan tak akan lepaskan peluang ini.
“Bagi saya, Khabib dan Muhammad Ali adalah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Mereka merupakan petarung Muslim yang ikonik,” katanya dengan penuh semangat.
TAWARAN LAKONAN
Selain perkembangan kerjaya dalam Muay Thai, Jojo turut berkongsi dia turut menerima tawaran untuk lakonan. Namun, buat masa sekarang, dia ingin fokus pada perkembangan karier pertarungannya.
“Buat masa sekarang, saya mahu beri sepenuh perhatian pada Muay Thai dan seni bela diri. Mungkin bila kerjaya ini sedikit perlahan, saya akan mempertimbangkan tawaran berlakon. Tapi, berlakon bukan mudah. Ia perlukan tenaga, masa, komitmen, dan latihan yang intensif, terutamanya bagi saya yang tak ada latar belakang bidang lakonan,” jelas Jojo.
Apabila ditanya tentang watak impiannya jika berpeluang berlakon, Jojo tanpa ragu-ragu menyebut: “Kalau boleh pilih, saya mahu berlakon watak seperti Tom Cruise.”
Dalam dunia sukan pula, Jojo mengidolakan Cristiano Ronaldo, atlet yang sentiasa memberi inspirasi kepadanya dengan kerja keras dan dedikasi luar biasa.
Baru-baru ini, Jojo turut mencuri tumpuan ramai apabila mengenakan baju Melayu ketika perlawanan di Amerika Syarikat baru-baru ini. Ditanya mengenai pemilihan pakaian tradisional itu, Jojo menjelaskan, “Saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Saya mahu tunjuk kepada dunia budaya kita”.
Menjelang setiap perlawanan, Jojo mempunyai rutin tersendiri. Walaupun tidak tetap, dia berkongsi bahawa solat hajat dan solat sunat sering menjadi amalan sebelum melangkah ke gelanggang.
“Sebenarnya saya tak ada rutin yang sama sebelum perlawanan tapi saya akan lakukan solat – solat sunat, solat hajat untuk kosongkan minda bagi persiapan mental,” tambahnya lagi.
SUKAN MENCABAR
Untuk mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan sukan Muay Thai, Jojo memberikan pesanan ringkas tetapi mendalam.
“Sukan ini bukan mudah. Ia antara yang paling mencabar. Sukan ini menyakitkan dan boleh menyebabkan kecederaan serius, berbahaya dan memerlukan fokus sepenuhnya. Tak boleh buat separuh-separuh.”
BACA: Khabib Pelawa Jojo Berlatih Di Dagestan – “Malaysia Ada Atlet Berbakat Dan Jaguh Muay Thai”
Jojo terus memberikan inspirasi kepada ramai peminat sukan dan seni bela diri dengan ketekunan, dedikasi, dan semangat juangnya.
Sebagai seorang atlet yang terus berkembang, Jojo melambangkan gabungan kekuatan, disiplin, dan rasa bangga terhadap akar budaya serta agama yang dipegang teguh.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Sumber: Astro Gempak
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.