Negara aman, stabil kerana rakyat tidak boleh bercakap – Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kestabilan dan keamanan negara dapat dicapai sekarang ini kerana rakyatnya dinasihat supaya tidak bercakap.

Negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bagus kerana rakyat tidak boleh berkata apa-apa tentang kerajaan.

Dr Mahathir berkata, rakyat juga tidak boleh mengeluh sekiranya mereka sakit akibat ditindas oleh kerajaan.

“Isu 3R (raja, agama, kaum) diwujudkan dan kini ahli-ahli Parlimen pembangkang didesak untuk menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) agar tidak membuat ucapan kebencian.

“Jika MOU itu ditandatangani maka kerajaan akan memberikan dana kepada ahli Parlimen dan kerajaan berhak menentukan sama ada ucapan anda itu mempunyai unsur kebencian ataupun tidak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tun Mahathir mendakwa keistimewaan untuk bersuara secara bebas di Parlimen juga sudah hilang.

“Sekarang pun Speaker boleh menggantung ahli Parlimen selama enam bulan kerana membuat kritikan terhadap kerajaan, mulut wakil rakyat kita di Parlimen kini ditutup.

Tambahnya, media sosial juga harus dilesenkan supaya mereka tidak membuat bising dan keamanan dan kestabilan akan menjadi sama seperti di Korea Utara.

“Media asing dianggap sebagai gangguan dan mereka patut disaman. Panggil mereka untuk disoal siasat dan tidak berbuat apa-apa. Lebih-lebih lagi apabila mereka melaporkan kebenaran yang media tempatan tidak boleh laporkan,” ujarnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply