Seorang Lagi Pesakit Diabetes Berjaya Dirawat Menggunakan Sel Tunjang

Adakah diabetes bakal menjadi penyakit yang akhirnya dapat dirawat? Ini kerana seorang lagi pesakit diabetes jenis-1 telah berjaya dipulihkan menggunakan rawatan sel tunjang di China. Selepas menerima prosedur pemindahan sel tunjang, wanita berusia 25 tahun yang menghidap diabetes selama 11 tahun tidak lagi memerlukan suntikan insulin selama setahun.

Rawatan ini dibangunkan saintis daripada Hospital Pusat Pertama Tianjin, Universiti Peking, Makmal Changping dan Biosains Reprogenix Hangzhou. Mereka mengambil tisu adipos pesakit yang kemudiannya diubah menjadi sel tunjang. Ia kemudiannya diubah menjadi sel islet sebelum dipindahkan ke otot perut pesakit.

Sel islet bertanggungjawab menghasilkan insulin dalam tubuh manusia. Keperluan suntikan insulin harian mula turun selepas dua minggu sebelum tidak lagi diperlukan selepas 75 hari. Tubuh pesakit kembali menghasilkan insulin sendiri dan beliau berjaya dirawat sepenuhnya.

Yang menjadikan kejayaan saintis China ini unik ialah, sel islet dipindahkan ke otot perut dan bukannya pada hati pesakit seperti yang dilakukan ke atas manusia pertama dipulihkan daripada diabetes tiga tahun lalu di Amerika Syarikat. Pemindahan ke otot perut adalah lebih mudah berbanding ke hati kerana tidak memerlukan pembedahan yang rumit. Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Cell.


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply