Baru-baru ini banyak diperkatakan tentang perbuatan ‘mengambil berkat’ dilakukan oleh ahli sebuah pertubuhan Islam yang dikaitkan dengan ketaksuban terhadap pemimpin mereka.
Ada yang dilihat keterlaluan malah menjijikkan bila sanggup meminum air rendaman janggut dan air basuhan badan pemimpin. Ada yang memandang serius hal ini malah tak kurang yang menjadikan ia satu bahan lawak.
Tapi perlu dijelaskan dalam Islam hukumnya perlakukan mengambil berkat atau bertabarruk ini dan adakah dalil yang mengharuskan ‘mengambil berkat’ ini.
Pencerahan tentang perkara ini dibuat oleh Ustaz Wadi Annuar dalam satu hantaran beliau di media sosial.
Kena tahu makna mengambil berkat
Berkaitan dengan mengambil berkat dengan seseorang atau sesuatu, umat Islam mesti mempunyai ilmu untuk membezakan mengambil berkat yang dibenarkan, mengambil berkat yang salah dan boleh tersesat. Untuk memahaminya, kita kena tahu makna mengambil berkat.
Mengambil berkat bermaksud: mengharapkan berkat daripada Allah ﷻ dengan perantara sesuatu. Setiap orang Islam perlu memahami bahawa keberkatan itu datangnya dari Allah ﷻ. Keberkatan tidak datang dari mana-mana benda atau individu.
Dalam al-Quran Allah ﷻ berfirman:
Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan(Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”(Surah al-A’raf: 96)
Al-Allamah Raghib al-Asfahani berkata di dalam kitabnya al-Mufradat fi Gharib al-Quran: Yang dinamakan berkat kerana kebaikannya yang tetap pada perkara yang diberkati seumpama tetapnya air dalam bekas.
Hukum Bertabaruk Dengan Orang-Orang Soleh
Terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai hukum bertabaruk dengan orang soleh. Sebahagian ulama berpandangan bahawa hukumnya adalah harus manakala sebahagian lagi tidak membenarkannya.
Jumhur ulama dalam kalangan ulama empat mazhab membenarkan untuk bertabaruk dengan orang soleh. Perbahasan mengenai bertabaruk dengan orang soleh dibincangkan pada pelbagai bab dalam kitab fiqah.
Dalil-dalil keharusan bertabaruk dengan orang-orang soleh:
- Al-Quran
Maksudnya: “Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-Nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”. (Surah al-Baqarah: 248)
Disebutkan dalam kitab al-Futuhat al-Ilahiyyah karangan Syeikh Sulaiman al-Jamal bahawa Bani Israel memiliki sebuah berkas yang akan diletakkan di hadapan mereka ketika mereka ingin berperang. Mereka mengharapkan kemenangan melaluinya. Dalam bekas tersebut mengandungi antaranya serban Nabi Harun AS dan selipar serta tongkat Nabi Musa AS.
- Hadis
Maksudnya: “Beberapa orang bayi dibawa kepada Baginda lalu Nabi mendoakan keberkatan dan mentahnikkan mereka. Kemudian seorang bayi dibawa kepada Nabi lalu bayi itu terkencing (di atas riba Nabi ﷺ). Nabi meminta air lalu Nabi membersihkan kencing tersebut tanpa membasuhnya.”(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi ketika menjelaskan makna hadis ini berkata:
Maksudnya: “Pada hadis ini terdapat beberapa pengajaran, antaranya: mentahnikkan kanak-kanak yang baru lahir dan ia merupakan suatu yang disunatkan berdasarkan ijmak para ulama, antaranya lagi mentahnikkan oleh seorang yang soleh sama ada lelaki atau perempuan dan juga mengambil berkat dengan peninggalan, air liur atau apa sahaja daripada orang-orang yang soleh.” .
Antara hujah yang lain, iaitu satu riwayat hadis yang berbunyi:
Maksudnya: “Nabi ﷺ mengubati dirinya ketika baginda sakit yang menyebabkan baginda wafat dengan membaca muawwizat (surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas). Manakala ketika Nabi ﷺ dalam keadaan gering aku membacakan muawwizat dan meniupkannya serta menyapu dengan tangan Baginda kerana keberkatannya.”(Riwayat al-Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani menerangkan bahawa hadis ini menunjukkan keharusan bertabaruk dengan orang yang soleh begitu juga dengan seluruh anggotanya khususnya tangan yang kanan.
Dalam sebuah riwayat yang lain disebutkan bahawa:
Maksudnya: “Ketika Abu Bakar r.a dilantik sebagai khalifah beliau menulis surat mengenai kadar zakat, adalah ukiran cincin memiliki tiga baris Muhammad sebaris, Rasul sebaris dan Allah sebaris.” (Riwayat al-Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani dalam hal ini juga berkata:
Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan keharusan menggunakan peninggalan atau memakai pakaian orang soleh untuk tujuan tabaruk dan mengambil kebaikan daripadanya.”
Isunya pada ajaran sesat, mereka mensistemkan amalan tabarruk dan memaksa bertabaruk sebagai syarat ketaatan atau bertabarruk bukan pada orang yang sepatutnya.
Pemaksaan seorang pemimpin agar pengikut mensucikannya atau mengambil berkat darinya adalah perbuatan melampau atau ghuluw di dalam Islam yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah.
Keadaan ini boleh terjadi terutama apabila semua ramalan yang dibuat oleh pemimpin tersebut menjadi kenyataan yang menyebabkan pengikut percaya bahawa mereka mempunyai kuasa yang ajaib dalam menentukan sesuatu itu boleh terjadi dengan hanya mengucapkan ungkapan tentang sesuatu. Walhal ia hanya istidraj iaitu keajaiban yang diberi untuk lebih menyesatkan mereka.
Kesimpulan Hukum
Jumhur ulama dari kalangan mazhab yang empat mengharuskan amalan bertabaruk dan ada juga sebahagian ulama lain yang tidak mengharuskannya. Setiap perbuatan bertabaruk dengan sesuatu hendaklah disertai dengan keimanan bahawa tiada apa yang dapat memberi manfaat atau mudarat selain Allah ﷻ dan kepada-Nya sahaja kita berharap dan memohon pertolongan.
Bagi ulama yang mengharuskan terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi seperti iktikad terhadap Allah ﷻ dan bukannya terhadap barang atau individu, serta tidak meletakkan kaifiat-kaifiat tertentu yang tiada asas dalil.
Bertabaruk adalah bersifat peribadi dan tidak seharusnya memuat naik gambar atau video di media sosial, kerana boleh mengundang fitnah kepada mereka yang tidak memahaminya. Berpada-pada dalam melakukan sesuatu perkara adalah amalan yang terbaik.
Sumber: Ustaz Wadi Annuar
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.