Buat Sendiri Mexican Bun, Boleh Makan Panas-Panas Lagi Sedap!

Kalau lalu depan kiosk jual Mexican Bun ini kita mesti terjebak beli sebab baunya yang harum. Malah roti ini juga sememangnya sedap terutama bila dimakan panas-panas.

Jika ramai dalam keluarga yang suka, elok kita belajar buat sendiri. Boleh ikut cara yang dikongsi oleh Amy Akim ini. Waktu masak memang semerbak dapur, tak sampai nak makan.

Buat sendiri Mexican Bun

Bahan roti :
300gram atau 3 cawan tepung gandum
70gram gula
30gram marjerin
Sebiji telur
1 sudu besar mauripan
150ml susu segar
Esen vanila
Secubit garam
Salted Butter atau Buttercup (untuk inti)

Bahan topping :
50gram tepung gandum
40gram gula
60gram marjerin
Sebiji telur
2 sudu besar Nescafe dan air suam (sekadar boleh larut)
Esen vanila

 

Cara membuat

1. Campurkan yis atau mauripan dengan susu segar dan gula. Biarkan dalam 10 minit.

2. Dalam bekas lain, ayak tepung gandum dan masukkan marjerin gaul sampai jadi macam serbuk roti. Kemudian masukkan telur, secubit garam & esen vanila.

3. Masukkan bancuhan yis/mauripan tadi. Uli sampai tepung tak melekat di tangan. Tambah tepung sikit demi sikit kalau adunan lembik. Uli doh dalam 10 minit. Lagi lama uli lagi lembut doh roti.

4. Tutup doh dengan kain yang lembap. Boleh guna napkin juga. Perap doh selama 1 jam.

5. Selepas doh naik, tumbuk-tumbuk doh untuk buang angin.

6. Bahagikan doh kepada 10 bahagian. Buat 50gram untuk setiap doh, boleh dapat 13 biji roti.

7. Masukkan butter dalam doh jadikan inti roti dan bulat-bulatkan. Letak atas baking tray yang disapu marjerin. Tutup dan biarkan dalam 10 minit.

8. Sementara itu boleh sediakan topping. Kisar marjerin dan gula, kemudian baru masukkan bahan-bahan lain. Akhir  sekali baru masukkan tepung. Blend sebati. Masukkan dalam piping beg.

9. Buat lingkaran topping dari tengah roti. Cukup topping bahagian atas tak perlu sampai bawah sebab topping akan cair ke bawah semasa roti dibakar.

10. Panaskan oven dalam 10 minit, baru bakar roti guna api atas dan bawah dengan suhu 170°c selama 20 minit bergantung pada suhu oven masing-masing.

 

 

Kredit resipi & foto : Amy Akim

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply