Bawa Karung Guni Sebagai Beg Masuk Asrama, Kisah Pelajar Cemerlang Rafida Zaiddin Sentuh Hati Menteri Pendidikan

Baru-baru ini, tular kisah seorang pelajar cemerlang yang menggunakan guni untuk mengisi barangan yang dijadikan sebagai beg untuk dibawa ke asrama sewaktu pendaftaran ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasminya pada Ahad memaklumkan, beliau sudah pun menghubungi remaja berkenaan, Rafida Zaiddin dan menguruskan serta-merta semua urusan beban kewangan serta keperluan diperlukan pelajar itu untuk meneruskan pengajian.

“Rafida, anak yang cerdik. Berasal dari bumi bertuah, Sandakan. Keputusan peperiksaan beliau di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan. Sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS. Bagaimana isu Rafida ini sangat dekat di hati saya? Kerana pada hari yang sama saya turut menghantar anak sulung saya ke universiti”

Kredit: FB Fadhlina Sidek

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Cikgu Rahman dan rakan saya, Dr Abdullah Bade, pensyarah UMS yang telah melaporkan keadaan anakanda Rafida Zaiddin,” katanya.

Fadhlina dalam perkongsian yang sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rafida kerana telah memberi kesedaran bahawa perjuangan pendidikan manusiawi adalah kekuatan Malaysia.

“Fly high, stand tall Rafida. InshaAllah Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pengajiannya. Semuanya telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajian. Semoga Allah memberkati pengajian anakanda Rafida,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kementerian turut komited memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga sepanjang tempoh pengajian dan sedia membantu kerana prinsip ‘tiada pelajar yang harus terpinggir’.

Beliau juga sudah meminta Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah mengenal pasti pelajar kurang berkemampuan di institusi pendidikan berkenaan untuk diberikan bantuan sewajarnya.

Katanya, pihaknya mengambil maklum mengenai cabaran yang dihadapi oleh sebahagian daripada pelajar baharu atau yang sedang berdaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara dan kes adik Rafida adalah salah satu kisah yang benar-benar menyentuh hatinya.

Tambahnya, “Hal ini menunjukkan kecekalan dan kuatnya semangat adik Rafida untuk menyambung pengajian walaupun dalam keadaan serba kekurangan.”

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Comments

Leave a Reply