POLEMIK zikir dengan kalimah ‘Hu’ kembali berlegar dalam kalangan masyarakat disebabkan perselisihan yang ditimbulkan segelintir ustaz.
Ada sebahagian mempertahankan zikir dengan kalimah ‘Hu’ yang bermaksud ‘dia’ dengan merujuk kepada ALLAH SWT manakala sesetengah yang lain menolak amalan tersebut dikhuatiri boleh menyimpang dan terjerumus kepada kesesatan.
Kadangkala yang menjadi mangsa keadaan dalam perbahasan ini adalah masyarakat awam yang tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai ilmu Islam.
Persoalannya, apakah hukum berzikir dengan kalimah ‘Hu’ ini? Apakah ia boleh dibolehkan untuk beramal?
Perkara ini telah dibincangkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui artikel Irsyad Hukum #254: Zikir Kalimah ‘Hu’ yang disiarkan dalam laman web rasminya.
Sebelum menyatakan hukum kepada persoalan tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan terlebih dahulu menjelaskan, zikir merupakan satu istilah yang suci dari ILAHI.
“Seperti didefinasikan oleh Syeikh Abdul Rahmah As-Sa’di, zikir umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba kepada ALLAH SWT dari segi akidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan, pujian ke atas ALLAH, mempelajari ilmu berfaedah, mengajarinya atau seumpama dengannya.
“Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh ALLAH SWT seperti membaca al-Quran, menyebut nama-nama dan sifat-NYA yang MAHA TINGGI dengan bibir atau hati sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran.
“Atau Lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengkudusan dan pengesaan terhadap ALLAH SWT,” jelasnya.
Oleh itu katanya, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama, bahkan ayat-ayat al-Quran banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada ALLAH SWT.
“Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati ALLAH SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ke-14 surah Taha:
“Sesungguhnya AKUlah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah AKU dan dirikanlah solat untuk mengingati AKU.”
ALLAH SWT turut berfirman dalam al-Quran mengenai zikir pada beberapa tempat termasuk ayat ke-41 surah al-Ahzab:
“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama ALLAH dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”
“Dengan itu tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada ALLAH SWT. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasik.
“Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada ALLAH SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada ALLAH SWT disebut sebagai tasawuf,” hurainya lagi.
Oleh yang demikian katanya, soal kepentingan berzikir tidak perlu dibahaskan lagi kerana ia tidak menjadi isu.
“Apa yang menjadi persoalan adalah berkisar perkara yang dizikirkan, bagaimana ia dipersembahkan dan iktikad di sebalik pengamalan seseuatu zikir.
“Ini kerana tidak mustahil sesuatu zikir itu boleh berubah daripada amalan terpuji kepada tercela jika ia tidak mempedulikan garis panduan yang ditetapkan syarak,” katanya.
Tambahnya lagi, menurut kajian Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tidak kurang juga kesesatan yang berpunca daripada masalah berzikir itu senditi.
“Ada yang berpunca daripada kalimah atau ungkapan zikir yang tidak difahami makna seperti berzikir dengan kalimah “ah…ah…ah” atas sangkaan kononnya ia termasuk dalam zikir zat sebagaimana yang diamalkan pengikut ajaran sesat Hakikah Insan bawaan Ahmad Laksanama.
“Begitu juga memasukkan ungkapan-ungkapan berunsur syirik seperti memohon pertolongan dengan rijal al-ghaib (orang-orang ghaib) dengan menggunakan kalimah “aghithuuna min ajlillah ya hu” (bantulah kami kerana Allah wahai dia) seperti mana yang terdapat dalam Aurad Muhammadiyah pegangan kumpulan al-Arqam yang telah diharamkan,” katanya dengan merujuk kepada halaman empat Kompilasi Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) 2016.
Berbalik kepada persoalan berzikir dengan lafaz ‘Hu’, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tidak menafikan bahawa sebahagian ulama tasawwuf mengatakan ia merupakan salah satu bentuk lafaz zikir yang disyariatkan.
Menurutnya dengan merujuk kepada kitab Al-Burhan ‘ala Manzilah al-Ihsan, Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali mengatakan zikir dengan kalimah tauhid itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
1 – Zikir dengan nafi dan ithbat iaitu ‘La ilaha illallah’. Ia bertujuan memberi kesedaran dan keluar daripada kelalaian.
2 – Zikir dengan nafi tanpa ithbat iaitu dengan nama ‘ALLAH’. Ia memperkukuhkan kehadiran.
3 – Zikir isyarat dengan dhamir atau kata ganti nama ‘Hu’. Ia sebagai sebab untuk keluar daripada apa yang selain-NYA.
“Oleh yang demikian, kami amat menghormati ulama tasawuf yang rabbani lagi alim dengan ilmu yang mungkin mengamalkan beberapa zikir seperti soalan yang ditanya dengan maksud hakiki adalah kembali kepada ALLAH SWT, bukan hanya kepada dhamir yang memberikan maksud dia kerena sesiapa pun boleh menjadi dia termasuk makhluk yang lain. Ini kerana ‘Hu’ termasuk dalam dhamir ghaib.
“Justeru amat perlu menerima zikir sebegini daripada tokoh yang benar-benar memahami ilmu tauhid seperti yang dikatakan oleh Junaid al-Baghdadi,” jelasnya.
Sebagai kesimpulannya, berzikir dengan menggunakan dhamir atau kata ganti nama seperti ‘Hu’ adalah harus jika ia benar-benar jelas merujuk kepada ALLAH SWT dengan bimbingan guru yang alim lagi rabbani, menurutnya.
“Bagaimanapun, apa yang terbaik dalam berzikir dan beribadah kepada ALLAH SWT adalah kembali kepada jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
“Semakin hampir cara amalan kita dengan Rasulullah SAW, semakin berkurangan risiko untuk kita melakukan kesilapan dan kesalahan dalam beramal,” ujarnya.
Akhirnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengesyorkan agar kita merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar dalam mengamalkan zikir dan wirid seperti kitab Al-Azkar karangan Imam al-Nawawi, Al-Ma’thurat karangan al-Syahid Hasan al-Banna dan Azkar al-Yawm wa al-Lailah karangan Mustafa al-‘Adwi.
“Semoga dengan mengamalkan zikir-zikir yang muktabar, amalan kita akan diterima oleh Allah SWT tanpa ragu lagi,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.