SHAH ALAM – Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda perlu mengutamakan ruang bicara dan kerjasama antara dua parti berbanding membuat tuntutan melibatkan perkongsian kuasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, kata Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), Hafiz Ariffin.
Hafiz berkata, apa yang lebih penting adalah mengekalkan hubungan baik antara pimpinan negeri dan pusat.
“Jangan nanti orang lihat dan merasakan ada sifat gelojoh dalam hasrat yang diajukan.
“Benarkan kelebihan menang di (DUN) Mahkota itu dinikmati oleh rakyat dahulu, bukan tuntutan kuasa oleh pimpinan parti yang menang,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah, menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.
Mohd Hasbie dalam kenyataan pada Ahad mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan yang selari dengan pimpinan persekutuan di Johor diwujudkan bagi mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.
Ujar Hafiz, kenyataan Mohd Hasbie disifatkan lebih lajar dari laju memandangkan tuntutan tersebut dibuat tidak sampai 24 jam selesai PRK DUN Mahkota.
Menurutnya, BN juga tidak membuat sebarang tuntutan sewaktu membantu Amanah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
“Seluruh keluarga BN hadir dan buat sehabis baik, sehingga menang. Tiada apa-apa tuntutan pun dibuat selepas memenangkan Amanah,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.