SHAH ALAM – Perwatakan yang ditonjolkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyumbang kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Pensyarah Komunikasi Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Immie Rozianie Abd Rahim berkata, salah satu faktor yang mendorong kepada kemenangan itu adalah cara komunikasi yang dimiliki Onn Hafiz.
Menurutnya, penampilan Pengerusi BN Johor itu yang membawa kepada kemodenan dalam keadaan rendah diri telah berjaya menarik perhatian pengundi atas pagar serta masyarakat Cina.
“Saya rasa gaya kepimpinan yang menunjukkan karisma Menteri Besar Johor ini membantu kepada faktor kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota ini.
“Bagi saya ini adalah penilaian cemerlang kerana target beliau mahukan 20,000 undi majoriti.
“Ini terbukti telah dapat (berjaya meraih lebih 20,000 majoriti). Bukan itu sahaja, gaya Onn Hafiz yang mengimbangi antara Pakatan Harapan dan BN juga memainkan peranan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Interviu bertajuk ‘Biru yang Mana Satu?’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Program itu dihoskan oleh Haizir Othman dan turut menampilkan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Sebelum ini, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dilaporkan menang dengan majoriti sebanyak 20,648 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
Secara keseluruhan, Ketua Pemuda UMNO Kluang itu memperoleh undian sebanyak 27,995 undi sementara Mohamad Haizan, 7,347.
Mengulas mengenai peratus keluar mengundi yang rendah, Immie Rozianie berkata, keadaan itu mungkin dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya pengundi tidak pulang mengundi.
“Seterusnya, faktor yang mungkin menyumbang adalah disebabkan pertelingkahan antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
“Mungkin itu kita boleh lihat bahawa protes yang ditunjukkan oleh pengundi etnik Cina untuk tidak keluar mengundi.
“Saya tidak rasa mereka akan mengundi PN tetapi protes dengan tidak keluar mengundi itu menjadi salah satu faktor peratusan keluar mengundi agak kurang pada PRK DUN Mahkota,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.