SHAH ALAM – Kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah bukti jelas bahawa rakyat menolak politik ‘syok sendiri’.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengubah strategi politik untuk diterima rakyat.
“Negeri Pengerusi PN sepatutnya menunjukkan atau menghasilkan satu keputusan yang membanggakan kepada perikatan.
“Bagaimanapun, kita lihat majoriti lebih 20,000, ia menjadi satu isyarat jelas kepada PN untuk ubah kepada realiti politik semasa.
“PN perlu perkembangan serta perbaiki strategi politik dan jangan hanya syok sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Interviu bertajuk ‘Biru yang Mana Satu?’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Program itu dihoskan oleh Haizir Othman dan turut menampilkan Pensyarah Komunikasi Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Immie Rozianie Abd Rahim.
Mengulas mengenai kemenangan bergaya BN, Mohammad Tawfik memaklumkan bahawa BN dilihat mengubah strategi politik setelah berdepan dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya sering sebut tentang muhasabah. UMNO-BN perlu muhasabah dengan turun ke lapangan dan melihat bahawa mereka supaya mendapatkan satu semangat politik yang baharu.
“Ini kerana dalam percaturan politik perlu ada kesegaran. Sekurang-kurangnya mereka (ahli politik UMNO-BN) dengar serta faham akan sentimen rakyat di peringkat akar umbi dan perlu dibawa ke peringkat tertinggi,” ujarnya.
Tambahnya, BN juga dilihat memahami kerjasama politik yang perlu dilakukan bersama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi meraih kemenangan pada siri-siri PRK akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat tidak akan menolak jika sesebuah parti itu mengamalkan ‘politik membumi’.
“Politik yang dekat dengan rakyat adalah memahami inti pati isi hidup rakyat. Politik itu sangat penting.
“Apabila rakyat selesa dengan sesiapa sahaja (pemerintah) dan kehidupan mereka tidak diganggu maka mereka akan memihak kepada kerajaan. Itu sifir mudah dalam politik,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.