KLUANG – Seorang wanita terlibat dalam kemalangan kecil di Jalan Haji Itnin Maarof, Taman Suria di sini ketika pulang daripada mengundi.
Norliza Mohd Yusof, 54, yang terbaring atas jalan raya kemudiannya dibantu seorang petugas media, Nur Aisyah Mazalan, 36, yang merupakan jurufoto sebuah syarikat media swasta.
Menurut Nur Aisyah, kejadian berkenaan berlaku ketika dia dalam perjalanan ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim untuk membuat liputan kehadiran Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun.
“Saya tengok dia mengadu kesakitan selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggang anak sulungnya, saya terus berenti kereta bantu dia.
“Mak cik itu mengerang kesakitan dan muka pucat terkejut jatuh motosikal. Dia cedera ringan, saya hantar dia pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari tempat kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Norliza berterima kasih kepada jurufoto dan orang awam yang membantu mereka dua beranak.
Katanya, ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian setelah selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini.
“Waktu nak belok ke simpang ke Taman Suria, tiba-tiba motosikal yang ditunggang anak saya berlanggar dengan seorang lagi penunggang motosikal yang juga baru sahaja selesai mengundi di sekolah sama.
“Mujur saya dan anak tidak mengalami kecederaan serius, hanya cedera ringan di tangan dan kaki,” katanya.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini!.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.