KLUANG – Semangat seorang warga emas yang mahu mengundi terbantut apabila semakan mendapati dia bukan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Sebaliknya, semakan mendapati dia sebenarnya adalah pengundi DUN Mengkibol.
Han Siew Soon, 85, berkata, dia sudah bersemangat untuk mengundi kerana tidak pernah terlepas peluang menunaikan tanggungjawab itu sejak sekian lama.
Bagaimanapun dia mengakui terlupa dan tidak sedar bahawa pilihan raya yang berlangsung melibatkan DUN Mahkota.
“Saya terlupa. Saya datang sini kawan yang hantarkan.
“Jadi (sebab salah DUN) saya tak dapatlah undi kali ini,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.
Sebelum itu, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan warga emas berkenaan meneruskan proses pengundian kerana memakai baju yang mempunyai lambang parti.
Bagaimanapun dia telah diminta membalikkan baju yang dipakainya.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 29.08 peratus daripada 61,274 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota selesai mengundi.
Proses pengundian di 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan berlangsung sehingga 6 petang ini, selepas dibuka pada 8 pagi tadi.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.